PRN: Parti penyandang kekal tanding kerusi DUN dimenangi


PAKATAN HARAPAN
(HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju parti yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 lalu akan kekal bertanding di kerusi disandang pada PRN kali ini.

Ketua Setiausaha HARAPAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika bercakap kepada pemberita pada satu program di Bayan Baru semalam berkata, ia parameter yang dipersetujui kedua-dua gabungan sebelum proses agihan kerusi melibatkan enam negeri dimuktamadkan.

“Perbincangan pusingan pertama sudah dibuat, perbincangan itu bersetuju beberapa parameter yang saya telah umum itu kekal.

“Kita masih ada masa lagi, yang penting kita telah bersetuju dengan parameter ‘incumbency’ (penyandang), itu contoh. Sebelum penamaan calon kita selesai,” katanya.

Tambah Saifuddin lagi, sebarang isu seperti permintaan mana-mana pihak menambah kerusi yang akan ditandingi, ia perlu diselesaikan di peringkat negeri.

“Kalau tak selesai akan diserah kepada pimpinan pusat untuk selesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai rundingan kerusi, beliau turut memaklumkan proses rundingan kerusi untuk PRN Kedah dan Selangor sudah diadakan, manakala Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pula sudah menetapkan tarikh rundingan.

Walau bagaimanapun pihaknya masih menunggu rundingan di Kelantan dan Terengganu diadakan.

Menyentuh mengenai rundingan itu lagi, beliau memaklumkan pucuk pimpinan di peringkat pusat hanya akan mengambil alih rundingan sekiranya jawatankuasa peringkat negeri gagal mencapai kata putus dalam tempoh ditetapkan.

“…(jika) negeri tak dapat menyelesaikan (baru Pusat akan ambil alih), selalunya macam itulah, akan ada satu, dua kerusi (gagal capai kata sepakat).

Rundingan peringkat negeri bakal dimulakan
“Mereka (pimpinan negeri) diberi satu tempoh untukberunding kerusi, tetapi saya tak ingat berapa lama tempoh itu untuk menyelesaikannya.

“Maknanya kalau sampai tempoh itu, pimpinan negeri BN dan HARAPAN ada lagi beberapa kerusi gagal dipersetujui misalnya, hal itu akan diambil alih oleh peringkat Pusat,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments