Naib Pengerusi KEADILAN Kedah bidas dakwaan Sanusi


KENYATAAN Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor semalam yang mendakwa terdapat komplot untuk memecatnya sebagai wakil rakyat negeri dalam Majlis Kewangan Negara terus dikritik.

Naib Pengerusi KEADILAN Kedah, Nor Azrina Surip mempersoal dakwaan Sanusi itu dengan menegaskan Perdana menteri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melantik sesiapa dalam Majlis Kewangan Negara.

Pelantikan seseorang individu dalam Majlis Kewangan Negara hanya mengikut apa yang dicadangkan oleh sultan sesebuah negeri.

"Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri dilantik manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang Di-Pertua Negeri.

"Jelas menunjukkan tiada kuasa perdana menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang diperkenan Sultan jika mengambil konteks dalam negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sanusi yang merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa kedudukannya dalam majlis itu mahu digantikan dengan Setiausaha Kerajaan Kedah Norizan Khazali. Dia bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti dakwaannya.

Sementara itu Nor Azrina menggesa Sanusi supaya berhenti berbohong mengenai kerajaan persekutuan atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mengingatkan Sanusi mengenai titah baginda Tuanku Sultan Kedah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 pada Mac.

Baginda jelasnya telah berpesan supaya mengelak berpolitik secara berlebihan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
 
Sultan Kedah juga, kata Nor Azrina menekankan bahawa negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang.

"Namun, Sanusi telah berulang kali membangkitkan isu yang boleh menyebabkan pergeseran antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seperti mendakwa bulan lalu bahawa beliau telah dihalang daripada acara persekutuan.

Nor Azrina gesa Sanusi berhenti berbohong
"Memetik pandangan Imam Al-Nawawi Rahimahullah, dalam Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi bohong ini didefinisikan sebagai - mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlaku atau akan datang.”

"Dari pandangan di atas jelas menunjukkan bahawa pembohongan seperti itu tidak wajar dilakukan meskipun bertujuan berjenaka untuk menarik perhatian atau sokongan orang," tambahnya.


Post a Comment

0 Comments