MOF mahu laporan LCC bentang laporan isu ekonomi di Labuan

 


DEWAN PERNIAGAAN LABUAN (LCC) diminta mengemukakan laporan penuh berhubung isu dan cabaran ekonomi yang dihadapi di pulau bebas cukai itu.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim berkata, Kementerian Kewangan memerlukan laporan itu segera supaya kajian secara terperinci dan penyelesaian menyeluruh dapat segera dibuat.

"Saya telah mendengar taklimat mengenai pelbagai isu dan cabaran ekonomi di Labuan yang terpaksa dihadapi oleh komuniti perniagaan serta orang ramai secara keseluruhan dan saya telah mengambil maklum perkara itu.
 '
"Kami mahu laporan penuh dan akan melihatnya secara menyeluruh," katanya.

Steven Sim ditemui pemberita selepas melawat Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Labuan pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu di bawah bidang kuasa MOF akan ditangani termasuk berkaitan kastam yang akan dibawa kepada Ketua Pengarah untuk penyelesaian lebih baik.

"Kami ingin berbincang dengan pihak kastam cara untuk menjalin kerjasama dengan (pemain industri) sektor swasta bagi membangun dan memudahkan perniagaan.

Laporan perlu untuk kajian segera diadakan
"Kerjasama erat antara pihak kastam dan sektor swasta akan membolehkan kami menambah baik dasar sedia ada untuk merangsang ekonomi serta memanfaatkan rakyat," katanya.

Sim, yang dalam lawatan sehari ke Labuan, antara lain telah diberi taklimat mengenai perkhidmatan pengendalian pelabuhan Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), aktiviti kapal ke kapal Victoria STS Sdn Bhd dan isu berkaitan status bebas cukai di Labuan oleh Pengerusi LCC Daniel Doughty.

 

Post a Comment

0 Comments