Laporan akhir insiden Sabah Air akan didedahkan, kata PM


LAPORAN akhir siasatan nahas pesawat Sabah Air pada 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens bersama rombongan akan didedahkan kepada umum minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan berhubung tragedi yang digelar ‘Double Six’ kerana berlaku pada 6 Jun 1976 telah dinyahklasifikasi mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Keputusan itu juga jelas Anwar dibuat seepas mengambil kira tuntutan oleh keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian berkenaan.

“Mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat khususnya di Sabah berhubung insiden yang berlaku pada 47 tahun lalu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk mendedahkan laporan akhir nahas udara itu.

“Laporan penuh berhubung nahas Sabah Air akan dihebahkan kepada umum pada minggu depan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pad Rabu.

Anwar juga berkata, pengumuman itu selari dengan dasar keterbukaan dan ketelusan diamalkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.  
 
Dalam kejadian tersebut, pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air terhempas di daerah Sembulan, ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelas orang terkorban termasuk Tun Fuad Stephens, menteri negeri Datuk Salleh Sulong, Datuk Peter Mojuntin dan Chong Thien Vun.

Laporan akhir nahas bakal didedah minggu depan
Antara lain yang turut terkorban ialah Pembantu Menteri Darius Binion, setiausaha tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Wahid Peter Andau, Isak Atan setiausaha peribadi Tengku Razaleigh Hamzah, yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan, Kpl Said Mohammad (pengawal peribadi kepada Fuad), juruterbang Kapten Gandhi Nathan dan anak sulung Fuad Johari Stephens.

Pada 8 Mac lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk dinyahklasifikasi berhubung insiden tersebut.

Post a Comment

0 Comments