PEMANTAUAN sentiasa dilakukan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) supaya ibu bapa pelajar tidak terbeban dengan caj yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kata menterinya.
Fadhlina Sidek di Dewan Negara ada Isnin berkata KPM melalui Surat Pemakluman Sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru pada 15 Sept 2021 telah memberi peringatan kepada sekolah-sekolah agar tidak mengenakan bayaran tambahan dalam sumbangan PIBG dan pematuhan kepada garis panduan yang telah disediakan.
"Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa Guru) 1998 membenarkan PIBG untuk mengutip apa-apa sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri yang merupakan Pendaftar Negeri.
"Dalam hal ini, Surat Siaran KPM Bilangan 4 Tahun 2011 Garis Panduan Kutipan/Bayaran Keperluan Persekolahan Di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan adalah berkaitan sebagai rujukan pihak sekolah," katanya.
Sementara itu Fadhlina turut menyarankan supaya ibu bapa dapat hadir ke mesyuarat PIBG yang dianjurkan pihak sekolah.
Melalui langkah itu jelasnya, ibu bapa akan mendapat maklumat dan justifikasi berkaitan caj yuran PIBG yang dikenakan dan sekiranya membantah mereka boleh mengemuka aduan mengikut aturan dan proses sepatutnya.
![]() |
Kementerian akan bertindak jika ada aduan |