Kerajaan lancar perkhidmatan helikopter ambulan EMARS


JABATAN
Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melancarkan perkhidmatan khas helikopter ambulans pertama negara.

Pelancaran inisiatif baharu dikenali sebagai Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS) itu disempurnakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan  Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin pada Sabtu dengan di saksikan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Kor Ming ketika ditemui media pada majlis itu berkata, perkhidamatan khas itu merupakan usaha memenuhi keperluan perkhidmatan kecemasan semua lapisan masyarakat, terutamanya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung Orang Asli yang sukar diakses dengan laluan darat.

Selain memastikan ketersampaian perkhidmatan kepada akar umbi, usaha mewujudkan EMARS itu jelasnya dijangka akan menjimatkan perbelanjaan negara sekurang-kurangnya RM15 juta setahun.

“Ketika ini Kementerian Kesihatan terpaksa mengupah khidmat pakar swasta termasuk flying doctors di kawasan-kawasan pedalaman.

“Setiap tahun anggaran perbelanjaannya adalah lebih kurang RM20 juta. Tapi sekarang dengan khidmat yang ditawarkan oleh pasukan bomba ini, kita cuma belanja RM5 juta sahaja setahun,” katanya kepada pemberita.

Perkhidamatan EMARS menggunakan aset sedia ada JBPM iaitu helikopter jenis Agusta Agusta A109E Power yang diubah suai untuk dilengkapi peralatan perubatan kecemasan dan boleh memuatkan tujuh orang pada satu-satu masa.

Bakal ditambah sesuai kedudukan kewangan negara
Ia akan mula dioperasikan  pada 1 Mei ini dengan libat urus bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA).

Selain meindahkan pesakit di kawasan pendalaman, ia turut berfungsi untuk membantu mempercepat operasi kecemasan seperti pemindahan mangsa kemalangan jalan raya dan pemindahan organ.

Buat masa ini hanya atu sahaja helikopter EMARS akan digerakkan ke seluruh Semenanjung dan perkembangan jumlah dan kawasan liputannya di masa akan datang bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan