PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon rakyat memberi tempoh masa mencukupi untuk pentadbirannya membuktikan tatakelola yang baik selain menghentikan amalan rasuah dalam pentadbiran negara.
Berucap ketika menyampaikan amanat kepada Penjawat Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang di Dewan Besar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di Bukit Mertajam pada Jumaat Anwar berkata, kerajaan dipimpinnya perlu memperbetulkan banyak kecurangan, salah kuasa dan masalah rasuah yang membelenggu pentadbiran negara.
"Beri tempoh beberapa tahun kepada kerajaan untuk membuktikan satu pentadbiran dan tatakelola yang baik dan bersih selain menghapuskan amalan rasuah yang telah membelenggu negara selama ini.
"Saya akui, ia bukan mudah untuk melakukan semua ini.
"Ini kerana, amalan rasuah ini sudah lama menjalar dalam pentadbiran negara di semua peringkat," katanya.
Mengulas lanjut mengenai usaha yang mahu dilakukan kerajaan itu, beliau berkata, hasil negara boleh ditingkatkan semula sekiranya masalah rasuah berjaya dihapuskan.
Melalui peningkatan hasil itu, ia seterusnya boleh diagihkan semula untuk kesejahteraan rakyat.
"Saya buka fail (kerajaan) dalam beberapa keputusan setahun dua ini dan ia penuh dengan kecurangan, nafsu serakah pemimpin.
"Saya tidak peduli sama ada dia (pemimpin) Cina atau Melayu atau daripada parti mana, saya beritahu SPRM supaya bertindak secara profesional dengan data dan fakta yang betul. Sekiranya ada kes, Peguam Negara ambil tindakan pendakwaan supaya menjadi pengajaran," tambah Anwar.
Sementara itu, Anwar turut menegaskan penting untuk kerajaan pusat dan Pulau Pinang terus mempunyai hubungan politik yang stabil.
![]() |
Beri peluang untuk kerajaan pulihkan negara |
"Saya minta rakyat faham keperluan kita mempertahankan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pastikan kerajaan negeri ini kuat supaya dapat membantu kita memperkuatkan lagi Kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan pusat," katanya dipetik.
0 Comments