Selangor lancar Bakul Rahmah untuk bantu golongan B10


SEBANYAK 11,000 ketua isi rumah di Selangor bakal menerima manfaat daripada inisiatif Bakul Rahmah yang dilancarkan Kerajaan Negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan memaklumkan bantuan kepada golongan B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500) itu direalisasikan bagi meringankan beban sara hidup dihadapi golongan itu dan akan kesemua 22 kawasan Parlimen di negeri itu.

Empat kawasan Parlimen iaitu Gombak, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Langat dipilih sebagai kawasan pertama menerima inisiatif tersebut.

Manakala agihan ke kawasan Parlimen lain akan digerakkan dengan aturan yang telah ditetapkan.

“Menerusi Program Payung Rahmah, kita sasar 500 penerima setiap parlimen di Selangor terima manfaat Bakul Rahmah dalam usaha kita meringankan beban orang ramai terutama pada bulan Ramadan.

“Agihan bantuan secara sekali beri ditentukan ahli parlimen dan ahli dewan negeri (ADN) yang mempunyai senarai layak,” katanya.

Terdahulu Naib Presiden KEADILAN itu hadir ke Majlis Pelancaran dan simbolik Penyerahan Bakul Rahmah peringkat Selangor 2023 di Kuala Selangor pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah EXCO Pengguna Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi bin Mat Radey dan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.  

Februari lalu, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan seramai 37,373 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara bakal menerima bantuan keperluan asas menerusi inisiatif Bakul Rahmah.

Inisiatif tersebut melibatkan kerjasama rakan strategik, pasar raya, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


K'jaan Selangor terus cakna bela nasib rakyat
Sementara itu Amirudin menegaskan Kerajaan Negeri dipimpinnya akan memberikan komitmen dan kerjasama strategik kepada KPDN dalam menggerakkan inisiatif Bakul Rahmah ini.


"Inisiatif Bakul Rahmah ini wajar disambut baik dan Kerajaan Negeri Selangor berharap KPDN Selangor akan terus membantu dan membimbing mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyumbang di bawah inisiatif Bakul Rahmah ini," jelas Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua.

Post a Comment

0 Comments