P.Pinang sedia RM450,000 bantu koperasi - Timbalan KM


KERAJAAN Negeri Pulau Pinang yang dipimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) meluluskan Bantuan Penang2030 COOP Grant bagi tahun 2023 dengan peruntukan RM450,000, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Bercakap dalam satu sidang media di Komtar semalam, ADUN Pinang Tunggal dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, peruntukan itu bertambah berbanding RM300,000 untuk tahun-tahun sebelumnya bagi merancakkan lagi ekonomi negeri melalui gerakan koperasi.

Langkah itu juga bersandarkan rekod prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh koperasi yang telah menerima manfaat sebelum ini.

“Penambahan daripada jumlah asal RM300,000 kepada RM450,000 berdasarkan penglibatan aktif koperasi dalam membantu komuniti.

“Bantuan Penang 2030 COOP Grant akan meliputi permohonan bagi tujuan infrastruktur atau modal pusingan yang berjumlah RM10,000 maksimum bagi setiap koperasi serta mengikut keputusan Jawatankuasa Penilai.

'Ini akan memberi peluang kepada koperasi yang benar-benar memerlukan untuk memulakan atau memulihkan perniagaan mereka,” ujar Ahmad Zakiyuddin.

Hadir sama dalam sidang media tersebut adalah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang (SKMPP), Norlelah Samsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Pulau Pinang, Mohd. Jamil Othman.


Usaha untuk merancakkan ekonomi negeri
Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin memaklumkan, permohonan bantuan ini akan diselaraskan oleh SKMPP bagi menyusun dan mengemaskini semua permohonan daripada koperasi mengikut syor dan justifikasi yang telah ditetapkan.


Koperasi yang berminat mendapatkan bantuan itu boleh mengemuka permohonan kepada SKMPP melalui laman sesawang penang@skm.gov.my atau talian 04-2611335.


Post a Comment

0 Comments