KERTAS KABINET berkaitan perlindungan gajah dalam kurungan di Sabah sedang disediakan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.
Christina dalam satu sidang media pada Jumaat berkata, dokumen oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) itu bagi memastikan keselamatan penjaga haiwan.
Ia berkaitan peralihan Pengurusan Kontak Bebas (FC) kepada Pengurusan Kontak Perlindungan (PC) gajah dalam kurungan di negeri itu.
“Kami sedang dalam proses melaksanakan Pelan Pengurusan Gajah Tawanan Sabah (CEMP) mengenai pengendalian gajah yang selamat sebagai sebahagian daripada Pelan Tindakan Gajah Borneo Sabah (2020-2029).
“Saya akan membentangkan kertas itu kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan. Ia adalah mengenai menambah baik kemudahan dan mengamalkan amalan pengurusan yang baik dalam menguruskan gajah dalam kurungan,” katanya di Kota Kinabalu.
Difahamkan, langkah itu diambil susulan insiden Disember lalu yang menyaksikan seorang petugas Taman Hidupan Liar Lok Kawi, di sini, meninggal dunia selepas diserang gajah pygmy.
Dalam kejadian itu mangsa yang berusia 49 tahun diserang seekor gajah dewasa ketika dia sedang memberi rawatan kepada seekor anak gajah yang cedera dalam kandang pameran.
Sementara itu, Pengarah JHL Augustine Tuuga berkata, peralihan daripada Pengurusan FC kepada Pengurusan PC melibatkan pengubahsuaian semua struktur yang melindungi gajah tawanan.
Usaha meningkatkan keselamatan petugas |
Ketika ini difahamkan, terdapat 25 ekor gajah dalam kurungan di tiga fasiliti iaitu 14 di Taman Hidupan Liar Lok Kawi, enam di Sepilok, Sandakan dan lima di Borneo Elephant Sanctuary (BES), Kinabatangan.
0 Comments