PM gesa perbanyakkan program munajat, majlis ilmu


PROGRAM
  Selawat dan Munajat Perdana untuk Malaysia yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras malam tadi dibanjiri lebih 15,000 umat.

Walaupun hujan lebat sejak petang, rata-rata mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk berada dalam program itu yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba sekitar pukul 7.53 malam diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin Imam Masjid Shah Alam, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki sebelum disusuli program selawat dan qasidah oleh Syabab EI-Mustofawiyah yang menjadi johan Festival Qasidah tahun lepas.

Perdana Menteri kemudian berada di atas pentas untuk sama-sama mengalunkan selawat Nuril Anwar dalam program bertemakan Mahabbah Rasullulah Asas Kejayaan Malaysia Madani itu.

Program dianjurkan Pertubuhan Dai Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menampilkan tokoh agama antaranya johan qari antarabangsa, Amirahman Abbas dan Sheikh Razak al-Masri yang akan bersama-sama mengalunkan selawat.
 
Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar turut dijemput menyampaikan ceramah dan tausiyah dalam program tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta agar program berbentuk selawat, munajat, majlis ilmu kerap diadakan selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Madani itu sendiri jelasnya membawa maksud kepada sebuah kerajaan bertamadun dan program berkonsep keagamaan merupakan langkah yang perlu terus dilaksanakan di negara ini.

PM alunkan selawat Nuril Anwar malam tadi
“Majlis munajat dan berselawat termasuk majlis ilmu bagi saya sepatutnya diterapkan. Jika dihayati konsep Malaysia Madani itu sendiri, ia membawa pengertian negara ini bertamadun yang dijanakan dengan perpaduan.

“Seharusnya kita memanfaatkan kekuatan perpaduan dan persatuan itu untuk mengangkat martabat insaniah, ekonomi, ilmu, pendidikan dan sosial,” katanya.

Post a Comment

0 Comments