Perdana Menteri rasmi Balai Bomba baharu Tambun


KERAJAAN
tidak akan berkira-kira untuk menambah peruntukan kepada pasukan bomba dan penyelamat bagi memastikan perkhidmatan pasukan itu sentiasa di tambah baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun pada Sabtu berkata, peranan dimainkan pasukan itu amat besar yang bukan sahaja menyelamatkan nyawa dan harta benda, malah juga mengurangkan kerugian yang ditanggung negara.

"Bila bomba pantas selamatkan kebakaran seperti rumah kedai atau kilang umpamanya, itu juga adalah sumbangan kepada pacuan ekonomi negara kerana dapat mengelakkan adanya pihak terpaksa menanggung kerugian,"

"Kalau kita tanya cukupkah peruntukan untuk bomba ini? Saya kata takkan cukup, tapi seiring pemulihan ekonomi kita akan sentiasa tambah peruntukan kepada kementerian terlibat," kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Pembinaan balai bomba baharu di Tambun disifatkan penting kerana kedudukannya di kawasan pesat membangun meliputi sehingga Tanjung Rambutan dan Chemor.

Ia juga dapat memendekkan masa menyelamat kerana kedudukan balai bomba yang terdekat adalah di Ipoh dan Meru Raya.

Sementara itu beliau yang juga Menteri Kewangan mendedahkan keputusannya melonjakkan peruntukan kepada JBPM melalui peruntukan RM206.64 juta dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini didasari kecemerlangan ditunjukkan pasukan itu dan permintaan peribadi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan agar penghargaan diberikan khususnya kepada mereka yang terbabit dalam operasi carilamat mangsa gempa bumi di negara itu, sebulan lalu.

"Semangat dan pengorbanan mereka (pasukan Malaysia) sangat-sangat dikagumi rakan-rakan kota di Turkiye dan khususnya apabila presidennya sendiri sebut kepada saya bahawa dia minta agar sampaikan penghargaan kepada rakan-rakan (pasukan carilamat).

Anwar turut umum naik taraf BBP Tambun
"Pengalaman saya dan bomba juga bukan baharu kerana saya sendiri memperkenal dan beri sokongan agar pasukan bomba di negara ini mengenakan pakaian berceloreng ketika 90-an dahulu, sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada jasa mereka ketika itu termasuk kepada Indonesia," katanya yang turut mengumumkan naik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Tambun dari Balai Kategori D ke Balai Kategori C.

Dengan pengumuman itu, bilangan perjawatan di balai berkenaan akan ditambah kepada 29 anggota diketuai Ketua Balai gred KB29, selain sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) juga ditempatkan di sini bagi tujuan operasi operasi pemadaman dan penyelamatan.
 

Post a Comment

0 Comments