Fahmi gesa Muhyiddin jawab di Mahkamah, bukan pada umum


PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin digesa menggunakan saluran mahkamah untuk berhujah mengenai pendakwaan dihadapinya.

Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil dalam satu sidang media pada Sabtu menyatakan pendirian itu susulan persepsi cuba dimainkan Ahli Parlimen Pagoh itu kononnya pendakwaan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersifat politik.

Tambah Fahmi, sebagai bekas Perdana Menteri, Muhyiddin sewajarnya mengikut proses yang betul tanpa membuat sebarang tuduhan di khalayak umum berkaitan pendakwaan dihadapinya.

"SPRM dan Peguam Negara sudah menyatakan tindakan terhadap Presiden BERSATU itu bersifat bebas, tiada arahan daripada sesiapa sebaliknya mereka cuma melihat kepada fakta dan membawa kes itu ke mahkamah.

"Muhyiddin perlu berhujah di mahkamah bukan di khalayak, kerana jika beliau menuduh sesiapa menyatakan mahu serang beliau, itu persepsi yang salah," katanya Menteri Komunikasi dan Digital itu.

Beliau sebelumnya mengadakan lawatan kerja rasmi ke Johor di Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Taman Pelangi di Johor Bahru pada Sabtu.

"Saya pohon Tan Sri Muhyiddin ikut proses dan hujah di mahkamah," tambahnya.

Muhyiddin, 76 diheret ke Mahkamah pada Jumaat dan didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.

Selain itu, beliau menghadapi dua pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin kemudian mendakwa pendakwaan oleh SPRM terhadap dirinya adalah satu bentuk pendakwaan terpilih.

Muhyiddin perlu bersikap adil
"Muhyiddin perlu bersikap adil dalam soal pendakwaan itu memandangkan sebelum ini beliau tiada masalah dengan tindakan undang-undang terhadap parti politik lain.

"Contohnya dalam isu pembekuan akaun, bila kena pada UMNO, beliau (Muhyiddin) kata ikutlah (proses), jadi kali ini apabila kena pada BERSATU, lain pula jadinya," tambah Fahmi dipetik laporan media.

Post a Comment

0 Comments