Tak peduli tohmahan, Anwar tetap akan lawan ketirisan

 


PERDANA MENTERI Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa pentadbirannya serius dalam usaha membendung ketirisan wang negara dan menghapuskan amalan rasuah.

Untuk itu jelasnya, beliau tidak sama sekali ambil peduli terhadap tohmahan dilemparkan pihak tertentu kepada kerajaan termasuk dakwaan tindakan mengheret individu yang disiasat atas salahguna kuasa kononnya bermotifkan politik.

“Tidak boleh kita izinkan dana negara, dana negeri, dana bandar raya diambil secara haram untuk memperkayakan segelintir. Tidak mungkin kita izinkan sesiapa tanpa kecuali untuk merasa bebas untuk gondol hak rakyat dana rakyat dan merasa boleh terlepas.

“Saya nak pastikan hal ini tidak berlaku dan berilah kita kesempatan dalam kerajaan perpaduan ini untuk melaksanakan program kita bersihkan negara daripada segala keterlanjuran ‘perompak-perompak besar’ dan kita tumpu sepenuhnya dalam memelihara kepentingan rakyat.

“Saya tak peduli apa yang disebut, ditohmahkan di luar ataupun dianggap ini satu tindakan politik, tidak,' kata Anwar ketika berucap pada Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara di Taman D R Seenivasagam di Ipoh pada Sabtu.

Pada Jumaat, Muhyiddin Yassin yang juga bekas perdana menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Dalam satu sidang media, Muhyiddin mendakwa pendakwaan ke atasnya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang dengan agensi penguat kuasa digunakan bagi mencapai tujuan politik kerajaan.

PM tak ambil kisah tentang tohmahan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kemudian tampil melalui kenyataan menafikan tohmahan pendakwaan dibuat atas motif politik.

Mereka menegaskan keputusan mendakwa seseorang individu dibuat berdasarkan keterangan dan fakta daripada penyiasatan. 

Post a Comment

0 Comments