Program Jimat Air 4.0 beri rebat untuk peralatan terpilih


KERAJAAN
akan meneruskan program bagi menggalakkan penggunaan air secara berhemat oleh rakyat di negara ini melalui Program Jimat Air 4.0.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad ketika merasmikan inisiatif itu semalam berkata, pengguna akan menikmati rebat secara bersasar untuk pembelian peralatan cekap air yang dilabelkan dengan Skim Pelabelan Produk Cekap Air (WEPLS).

Untuk itu jelasnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melantik Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd (SHOPEE) sebagai platform e-Dagang bagi pemberian rebat untuk pembelian peralatan cekap air di bawah program tersebut dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100,000.

"Program Jimat Air 4.0 ini merupakan satu inisiatif SPAN di bawah kempen penggalakan penggunaan produk cekap air yang bermula dari bulan ini hingga 31 Disember 2023," katanya semasa melancarkan insiatif itu pada Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Ipoh.

Sementara itu Nik Nazmi mendedahkan kadar penggunaan air domestik di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia.

Berdasarkan statistik pada 2021, kadar penggunaan air domestik bagi setiap individu ialah sebanyak 251 liter sehari berbanding dengan sasaran yang telah ditetapkan dalam Pelan Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia 2020-2030 adalah sebanyak 160 liter sehari untuk setiap individu menjelang tahun 2030.

Nik Nazmi harap kesedaran penjimatan air meningkat
Kadar penggunaan air yang tinggi ini jelasnya bakal memberi impak langsung kepada sumber air sedia ada dalam menampung permintaan air yang kian meningkat akibat proses urbanisasi, pertumbuhan ekonomi dan pertambahan penduduk.

Justeru beliau berharap program Jimat Air 4.0 dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk cekap air dan menggalakkan penjimatan penggunaan air domestik.

Post a Comment

0 Comments