SIJIL Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diiktiraf di peringkat antarabangsa dan tiada keperluan untuk kerajaan memansuhkan pendidikan Tingkatan Enam.
Pendirian itu dinyatakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan Usul Menjujung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara pada Isnin.
Menurut Fadhlina, pendidikan peringkat Tingkatan Enam, mencakupi peperiksaan STPM yang ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan ia selaras dengan Akta Pendidikan 1996 yang memberi jaminan bahawa ia mesti wujud serta diteruskan.
“Kewujudannya bertujuan pastikan murid peringkat menengah atas mendapat kualiti pendidikan setanding piawaian antarabangsa… STPM itu sendiri diiktiraf Cambridge Assessment International Education.
“Seluruh Universiti Awam di negara kita iktiraf kelulusan ini malah lebih 2,000 universiti seluruh dunia iktiraf sijil STPM, jadi lulusan Tingkatan Enam ini boleh lanjut pelajaran ke mana-mana sahaja dalam negara, luar negara, Amerika Syarikat, semua negara Komanwel juga Timur Tengah,” katanya.
Beliau sebelumnya menjawab cadangan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai supaya kerajaan memansuhkan STPM dan menggantikannya dengan program Matrikulasi.
Sementara itu dalam penggulungannya, Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN menegaskan bahawa pendidikan Tingkatan Enam mempunyai sasaran dan matlamat tersendiri berbanding program Matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Malaysia.
![]() |
Sijil STPM diiktiraf dunia, tiada alasan mansuh |
“Malah KPM juga akan luaskan Kolej Tingkatan Enam yang dirancang di Pahang iaitu di Kolej Astana, Kuantan dan satu lagi di Sri Lipis, di samping pembinaan Kolej Tingkatan Enam di Kelantan yang telah lulus peruntukan pembinaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” jelasnya.
0 Comments