Malaysia-Indonesia kukuh kerjasama pengangkutan


KERJASAMA dua hala sektor pengangkutan antara Malaysia dan Indonesia akan diperkukuh, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media bersama Menteri Pengangkutan Republik Indonesia, Budi Karya Sumadi di lobi Dewan Rakyat pada Selasa beliau berkata, pengukuhan kerjasama itu meliputi sektor pengangkutan udara dan laut.

Ia antaranya dengan menambah kekerapan dan mengembalikan penerbangan ke destinasi pilihan di Indonesia yang sebelum ini dihentikan.

"Syarikat-syarikat penerbangan dari Malaysia akan diminta menambah kekerapan penerbangan di destinasi-destinasi di Indonesia khususnya di Jakarta yang kita tahu permintaannya melebihi kapasiti.

"Selepas pandemik Covid-19, ada beberapa destinasi dihapuskan khususnya di Banda Acheh yang sebelum ini ditawarkan AirAsia.

"Jadi kita akan minta syarikat penerbangan itu mengembalikan semula perkhidmatan penerbangan antara Malaysia ke Banda Acheh," katanya dalam sidang media itu.

Mengulas mengenai pengangkutan laut, Anthony Loke berkata beliau telah berbincang dengan Budi mengenai kemungkinan untuk menghidupkan perkhidmatan feri pengangkut 'Roll On Roll Off' (RORO) antara Tanjung Bruas, Melaka dan Dumai, Sumatera, Indonesia.

Beliau turut menyatakan harapan menjelang 2024, perkhidmatan RORO yang boleh membawa kenderaan dari Dumai ke Tanjung Bruas dapat diperkenalkan.


Kerjasama bakal beri impak ekonomi
Sementara itu, Budi dalam sidang media sama turut memberitahu, pengukuhan hubungan antara kedua-dua negara dalam sektor pengangkutan adalah seiring dengan permintaan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang percaya ia mampu memberi nilai tambah kepada sektor ekonomi termasuk merancakkan lagi sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Post a Comment

0 Comments