Bersatu jangan pesong isu, jawab segera sumber RM300 juta

 


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa memberi penjelasan bagaimana wang RM300 juta boleh berada dalam akaun mereka dengan tidak cuba memesong perhatian rakyat dari isu tersebut.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Lee Chean Chung berkata, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan pemimpin parti perlu segera menjelaskan sumber dana parti itu dan berhenti mendakwa kerajaan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik.
 
“Sekarang Bersatu kena jelaskan bagaimana wang RM300 juta boleh berada dalam akaun mereka, dalam tempoh dua tahun ketika rakyat susah, rakyat sengsara, tapi dia dapat RM300 juta dalam akaun.

“Kena jelaskan kepada awam, kalau tak jelaskan sumber itu mestilah timbul keraguan,” katanya dipetik laporan portal FMT.

Lee sebelumnya mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang menuduh pembekuan akaun parti itu oleh SPRM bertujuan membunuh kredibiliti parti itu dan Perikatan Nasional (PN).

Menangkis dakwaan itu, Lee menegaskan, kerajaan pimpinan Anwar masih mengekalkan pentadbiran SPRM yang diketuai Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya, sekali gus menolak dakwaan badan itu digunakan bagi menghukum musuh politiknya.

“Kalau nak tuduh kerajaan campur tangan, adakah kita tukar ketua pesuruhjaya SPRM? Lainlah kalau kita tukar kepada orang politik, barulah tuduhan itu berasas tetapi kita tak lakukannya. Jangan cuba ‘discredit’ institusi SPRM tanpa asas,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menegaskan kerajaan tidak campur tangan terhadap tindakan SPRM terhadap Bersatu
 
Jelasnya, badan penguatkuasaan dan kehakiman termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah kekal bebas.

“Adalah tidak bertanggungjawab bagi tokoh politik daripada parti pembangkang membuat tohmahan bahawa Kerajaan Perpaduan campur tangan dalam siasatan SPRM itu.

“Kita tidak menggunakan badan-badan ini, yang berlaku ada dua hal yang mana siasatan itu dibuat selepas adanya laporan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM tentang penggunaan wang oleh Bersatu," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Pada Rabu, Azam Baki berkata,  pembekuan akaun Bersatu bertujuan membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Rakyat mahu tahu dari mana sumber dana Bersatu
FMT dalam laporan sebelum ini berkata, siasatan itu ada kaitan dengan dakwaan penyelewengan berbilion ringgit yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan COVID-19 ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri

Ia kemudian dikaitkan pula dengan penahanan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta kerana disyaki menjadi orang tengah bagi pengagihan projek-projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi, melibatkan dana RM92.5 bilion.

Post a Comment

0 Comments