Tak kira apa alasan Abdul Hadi, itu tetap rasuah - Bersih

 


KENYATAAN Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang tunai telah menyokong dakwaan bahawa berlaku pembelian undi ketika PRU15, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Melalui satu kenyataan pada Rabu, Bersih menegaskan apa-apa bentuk pemberian wang tunai atau apa-apa yang berharga ketika pilihan raya adalah masih dianggap sebagai rasuah dan ia menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Undang-undang jelas menyatakan ini adalah satu kesalahan, pihak berkuasa sama ada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menyiasat dan Jabatan Peguam Negara perlu mendakwa individu yang terlibat sebelum mahkamah boleh membuat keputusan,” kata Bersih.

Mereka merujuk kenyataan Abdul Hadi pada Sabtu yang mempertahankan pemberian wang tunai yang didakwa berlaku di Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Menjawab kepada petisyen oleh UMNO Terengganu yang mahu keputusan di tiga kerusi Parlimen itu dibatalkan, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata undang-undang pilihan raya menyatakan hanya calon dan ejen mereka dilarang daripada memberi wang.

Sebaliknya kata Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) itu, individu yang dirakam mengagihkan wang kepada pengundi dalam video yang tular baru-baru ini sebenarnya memberi sedekah.

Abdul Hadi pertahan pemberian wang sebagai sedekah
"Tidak penting tindakan itu dilakukan secara terus oleh calon atau pihak ketika.

"Akta Kesalahan Pilihan raya menyatakan sebarang wang tunai atau apa-apa yang berharga diberi kepada pengundi ketika tempoh pilihan raya untuk mempengaruhi seseorang itu untuk mengundi atau menghalang daripada mengundi adalah satu bentuk rasuah," kata Bersih.


Post a Comment

0 Comments