Sabah ikut pakai SOP Persekutuan berhubung kemasukan pelancong


KERAJAAN
negeri Sabah memutuskan untuk mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan pusat berhubung kemasukan pelancong ke negeri itu.
 
Perkara itu dinyatakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Christina Liew melalui satu kenyataan media selepas ia dibincangkan pada mesyuarat kabinet negeri pada Rabu.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri berkata, menerusi ketetapan itu, Sabah akan mengetepikan keperluan sijil vaksinasi, manakala ujian COVID-19 dengan keputusan negatif tidak lagi diperlukan sebagai syarat untuk pengembara masuk ke negeri ini.

"SOP ini terpakai kepada pengembara domestik dan asing," katanya.

Untuk rekod, bermula 1 Ogos lalu, semua pengembara dibenarkan memasuki negara ini tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Sebelum sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, Sabah merekodkan kedatangan kira-kira 4.3 juta pelancong dan sektor itu dianggap sebagai penyumbang ekonomi terbesar kepada Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api sebelum ini  berkata, beliau menjangkakan 2023 akan menjadi tahun yang baik untuk kementeriannya, berikutan adanya pasaran yang rancak untuk pembangunan pelancongan selanjutnya.

Sementara itu Christina turut memaklumkan bahawa kabinet negeri turut meluluskan penubuhan Biro Konvensyen Sabah merangkumi visi, fungsi dan perkhidmatan yang dicadangkan.

Biro itu juga akan berfungsi untuk memberi maklumat, bantuan dan sebagai penasihat mengenai semua aspek penganjuran yang diadakan.

Sabah guna pakai SOP ditetapkan Persekutuan
“Visinya adalah bagi memastikan Sabah diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai salah satu bandar terbaik dunia dalam menganjurkan acara perniagaan.

“Selain itu, menjadikan Sabah sebagai destinasi perniagaan yang dinamik di mana manusia, teknologi dan idea berkumpul untuk mencipta nilai yang hebat untuk pelanggan,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments