Persatuan peguam puji usaha PM selesai isu kekurangan hakim

 



TINDAKAN pantas kerajaan persekutuan menangani permintaannya supaya lebih ramai hakim untuk Sarawak dan Sabah untuk mengendalikan kes yang kian meningkat mendapat pujian Persatuan Peguambela Sarawak (AAS).

Presidennya, Gurvir Singh Sandhu berkata, langkah terbaharu dari kerajaan itu akan memberi lebih ruang kepada seseorang hakim memberi tumpuan kepada kes yang sedang dikendalikan di tempat mereka berbanding terpaksa juga memberi tumpuan mengurus kes di mahkamah lain yang membebankan fizikal hakim-hakim terbabit.   

"Sebagai contoh hakim di Mahkamah Tinggi Bintulu sering berulang-alik ke Miri melalui jalan raya untuk mendengar kes di Mahkamah Tinggi Miri yang lebih banyak berbanding kes di mahkamah lain.

"Kedaulatan undang-undang menghendaki rakyat diberi akses kepada keadilan termasuk akses kepada hakim apabila diperlukan dan dengan cara yang tepat pada waktunya," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu yang menyatakan keutamaan akan diberikan oleh pentadbirannya untuk pelantikan lebih ramai hakim bagi kedua-dua wilayah di wilayah Borneo itu.

Ia berikutan lebih ramai hakim diperlukan untuk mengurus peningkatan jumlah kes yang perlu dikendalikan.

Perdana Menteri juga memberi jaminan menangani isu berkaitan bangunan mahkamah yang rosak di Sabah dan Sarawak.


AAS harap lebih banyak langkah positif dari PM
Sementara itu kata Gurvir, AAS mengharapkan lebih banyak langkah positif diambil oleh kerajaan dalam menangani isu yang dibangkitkan oleh mereka.


"Kami berharap agar amalan seperti ini diteruskan kerana ia merupakan saluran yang tidak ternilai bagi Persatuan Peguambela Sarawak untuk menyampaikan pandangan berhubung pelantikan yang akan dilakukan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments