PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memberi ingatan kepada pemimpin agar tidak melupakan rakyat apa lagi menyusahkan rakyat setelah mendapat kuasa.
Berucap sempena sambutan Hari Ponggal 2023 Parlimen Tambun pada Ahad, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, rakyat seharusnya merasai nikmat di negara ini.
"Saya selalu ingatkan kawan-kawan apabila ada kuasa, kita guna untuk rakyat. Negeri ini kaya, hasilnya banyak tetapi kenapa yang kaya makin kaya, yang miskin ramai. sebab terlalu banyak ketirisan,
"Saya guna kuasa untuk selamatkan negara. Jangan ada yang mencuri sebaliknya beri bantuan balik kepada rakyat.
“Yang penting negeri kita kena selamatkan, bila saya sebut Malaysia kena diselamatkan (ini) untuk orang Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan bukan untuk orang atas," ujarnya pada majlis sambutan yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor itu.
Sempat menitipkan pesanan sambil menyanyikan beberapa lirik lagu bertajuk “Naan Aaniryrtal” oleh M. G. Ramachandran, mengenai kuasa dan rakyat, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan bahawa rakyat tidak wajar tersepit dalam drama pergaduhan di antara pemimpin termasuk dalam kalangan ahli politik.
"Saya tegaskan apabila kita gaduh di antara kaum, siapa yang untung, rakyat tidak untung. Yang gaduh orang bawah, yang suruh gaduh orang politik di atas.
"Sebab itu saya minta kawan-kawan Melayu datang meraikan bersama (Ponggal). Ini bukan upacara keagamaan sebaliknya pesta menuai yang diraikan sebagai tanda syukur kerana mendapat hasil yang baik," jelasnya.
Tambah beliau, Malaysia perlu berubah bagi menarik minat pelabur yang seterusnya akan menguntungkan rakyat menerusi tawaran peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di masa hadapan.
“Untuk negara ini, kita memperkenalkan ‘Masyarakat Madani’ kerana ia adalah usaha rakyat biasa untuk bangkitkan negara kita menjadi maju semula.PM gesa tolak permusuhan kaum sesama rakyat
“Dalam masa sebulan setengah lalu, saya lihat pelabur asing dari China, India, Amerika Syarikat dan Eropah sudah mula datang menunjukkan minat…ini untuk selamatkan rakyat bagi pekerjaan dan pendapatan yang baik, kalau tiada perubahan kita bakal berdepan masalah besar,” katanya.
0 Comments