PM ke Singapura, penuhi undangan Lee Hsien Loong


DATUK SERI Anwar Ibrahim bakal mengadakan lawatan rasmi ke Republik Singapura hari ini atas jemputan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan Perdana Menteri itu akan diiringi Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail dan disertai delegasi terdri daripada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Zohari Tun Abang Haji Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijadualkan akan turut serta dalam lawatan tersebut.

"Perdana Menteri akan bertemu pemimpin-pemimpin Singapura termasuk Presiden Republik Singapura, Halimah Yacob, dan Perdana Menteri Republik Singapura Lee Hsien Loong.

"Kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kerjasama dalam data, keselamatan siber dan ekonomi digital serta dua (2) kerangka kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau," kata Wisma Putra.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu turut dijadualkan meghadiri pertemuan khas dan beramah mesra dengan komuniti diaspora Malaysia menetap di seluruh Singapura.

Pada 8 Januari lalu, Anwar mengadakan lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri dengan mengadakan lawatan kerja ke Indonesia, kemudian pada Selasa lalu beliau turut mengadakan lawatan kerja ke Brunei selama dua hari bagi memenuhi undangan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Seperti kedua-dua kunjungan, lawatan Perdana Menteri ke Singapura kali ini bukan sahaja bagi mencerminkan hubungan akrab antara dua negara berjiran, namun membuka peluang untuk kedua-dua belah pihak untuk meneroka banyak peluang kerjasama.

Pemimpin kedua-dua negara dijangka akan membincangkan beberapa isu serantau terkait kepentingan bersama.

Kedua negara bakal teroka peluang baharu
Untuk rekod, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan paling besar dalam kalangan 10 negara rantau Asia Tenggara sepanjang tahun lepas.

Kedua-dua negara merekodkan nilai perdagangan yang berjumlah RM367.53 bilion dengan peningkatan sebanyak hampir 30 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

Post a Comment

0 Comments