Menteri bentang laporan prestasi pada retreat minggu depan - PM


JEMAAH menteri akan mengadakan sesi pemukiman (retreat) minggu depan untuk membentangkan prestasi semasa dan rancangan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menjawab soalan seorang hadirin pada majlis makan malam anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengenai sasaran khusus dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

“Seminggu lagi akan diadakan pemukiman menteri untuk para menteri membentangkan pencapaian mereka setakat ini.

“Pada retreat itu mereka boleh membentangkan pencapaian mereka, KPI (yang perlu dipenuhi) dan rancangan pada masa depan,” kata Anwar.

Beliau kini berada di Jakarta bagi lawatan kerja rasminya pertamanya ke luar negara sejak semalam.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) mengetuai Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pada 24 November 2022.

Sepanjang 45 hari pentadbirannya, sebahagian besar rakyat dilihat gembira dengan cara kerajaan diuruskan.

Sepanjang tempoh itu, tidak kedengaran daripada rakyat akan ketidakpuasan hati mereka dengan pentadbiran ini.

Beberapa peristiwa berjaya ditangani dengan baik antaranya kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang mengorbankan seramai 31 orang dan insiden banjir di negeri-negeri Pantai Timur.


Pentadbiran kerajaan berjalan lancar
Ia dapat dilihat dengan kehadiran Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet sehingga peruntukan segera diluluskan bagi meringankan beban ahli keluarga mangsa.

 
Beberapa kementerian turut dilihat telah memulakan usaha menangani kos sara hidup rakyat, selain meningkatkan perkhidmatan sektor tertentu dalam perkhidmatan awam.

Post a Comment

0 Comments