SEMUA pihak terutama pembangkang diingatkan supaya menghormati kerjasama Kerajaan Perpaduan dan tidak melakukan sebarang langkah politik yang boleh menggugat kestabilan semasa.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu program di Johor Baharu menegaskan pentadbiran sedia ada wajar diberi peluang mentadbir negara sehingga tamat tempoh penggal lima tahun supaya usaha membina semula negara dapat dijalankan dengan lancar.
Beliau turut berkata, tiada keperluan gerakan dibuat bagi menukar kerajaan sedia ada sedangkan rakyat sekiranya tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan boleh membuat keputusan untuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
"Jangan ada usaha yang kotor, jangan ada usaha yang jijik, tidak bermoral dan jangan ada usaha biadap, biar kami perintah Malaysia satu penggal.
“Kalau sudah satu penggal dan kami tidak ‘perform’, rakyat boleh pilih semula, tidak mengapa, tetapi jangan ambil langkah syaitan (Sheraton) lagi di tengah jalan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan terdapat satu pertemuan rahsia telah diadakan di London, kononnya sedang mengatur gerakan penjajaran semula politik negara dengan tujuan untuk menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Sekiranya 'langkah London' itu berjaya, difahamkan ia akan disusuli dengan usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar bagaimanapun dalam program Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) minggu lalu menegaskan usaha pihak tertentu yang didakwa mahu menumbangkan kerajaan tidak harus terlalu digusarkan.
Ini kerana majoriti sokongan Ahli Parlimen ketika ini tegasnya terbukti berbeza dari yang diperoleh kerajaan sebelumnya.
"Kalau dibandingkan dulu (kerajaan sebelumnya), itu majoritinya tiga, empat, dua..itu yang menyebabkan ia tidak stabil.
Jangan bawa negara ke kancah tak stabil |
Beliau sementara itu percaya, sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan sudah pastinya dilakukan pihak yang takut salah laku mereka terdedah.
0 Comments