Isu pekerja kontrak LHDN, MTUC rayu campur tangan PM


PENGERUSI Biro Pekerjaan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yakin nasib 958 pekerja sambilan harian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang ditamatkan kontrak pada 31 Disember lalu akan mendapat perhatian Perdana Menteri.

Bercakap kepada media, Abdullah Sani berkata kebanyakan pekerja yang ditamatkan perkhidmatan itu menggalas tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga dan sewajarnya mendapat pembelaan.

Malah ada antara mereka yang telah bekerja lebih 15 tahun dan sudah sewajarnya diserap sebagai kakitangan tetap.

"Ini adalah satu penginayaan. belasan tahun bekerja dan akhirnya diberhentikan, dinafikan penghargaan.

"Namun yakin Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mampu selesaikan isu ini.

"Saya juga berharap ia diselesaikan secepat mungkin agar mereka boleh dibantu," katanya.

Abdullah Sani yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kapar sebelumnya hadir bersama kira-kira 100 kakitangan yang ditamatkan hadir ke Bangunan Perdana Putra untuk menyerahkan satu memorandum rayuan kepada Perdana Menteri.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menerima memorandum yang disampaikan.

Sementara itu Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor yang turut hadir bersama dalam himpunan itu berkata penamatan kontrak pekerja-pekerja meliputi seluruh cawangan LHDN itu dilakukan selepas operasi lembaga berkenaan beralih kepada digital.

Pekerja jelasnya dimaklumkan mengenai penamatan kontrak berkenaan pada Jun tahun lalu.

Mereka beranggapan ia seperti kebiasaan setiap tahun iaitu kontrak mereka akan disambung semula pada Disember, tambahan pula ada antara mereka yang sudah berkhidmat sejak 18 tahun lalu, namun itu tidak berlaku.

Tindakan menamatkan kontrak pekerja terbabit juga jelasnya membangkitkan tanda tanya lain.

Ia apabila LHDN bertindak mengambil lebih 700 pekerja baharu berstatus pegawai sedangkan peluang untuk mengisi kekosongan itu wajar ditawarkan dahulu kepada pekerja kontrak yang telah lama berkhidmat.

“Apabila pekerja ini diberhentikan, mereka telah terputus pendapatan untuk sesuap nasi.

Yakin PM boleh bantu selesai isu berbangkit
“Kami merayu kepada perdana menteri supaya pekerja ini diambil semula bekerja kerana mereka merupakan pekerja bawahan iaitu mendapat bayaran RM65 sehari,” katanya.

Sementara itu, Shamsul berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Anwar dan penelitian lanjut akan dilakukan bagi menyelesaikan isu berbangkit.

“Saya telah maklum perkara ini kepada Perdana Menteri dan kita sedang teliti dan akan beri satu penyelesaian,” katanya.



Post a Comment

0 Comments