Dr Wan Azizah ajak rakyat fahami makna 'Malaysia Madani'

 


SEMUA pihak digesa memahami makna di sebalik konsep 'Malaysia Madani' yang ingin diterapkan Perdana Menteri di negara ini.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada satu program di Parlimen Tambun berkata, konsep berteraskan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang sedang diusahakan kerajaan bukan retorik atau slogan semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, ia mampu memberi kesan perubahan diharapkan kepada rakyat secara menyeluruh.

"Semua pihak perlu berganding bahu dalam menjayakan agenda tersebut. Perbezaan fahaman politik harus diketepikan dan bersama-sama membangunkan negara selari dengan 'Malaysia Madani. Kita tidak mahu ia hanya menjadi sekadar kata-kata atau hanya slogan.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita hendak merasakan impak konsep Malaysia Madani itu terutamanya di Parlimen Tambun ini yang merupakan kawasan Parlimen Perdana Menteri yang menjadi contoh dan penanda aras kepada seluruh Perak dan Malaysia khususnya," kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Dr Wan Azizah sebelumnya hadir merasmikan Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan (KOBAR) dan pelancaran Sekretariat Masyarakat Madani Tambun (SMAT) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Jalan Raja Kampung Manjoi di Ipoh pada Ahad.

Perdana Menteri baru-baru ini memperkenalkan konsep 'Malaysia Madani' sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Ketika menjadi pemimpin mahasiswa pada tahun-tahun 70-an, Anwar sering bercakap mengenai idea masyarakat madani.

Ia pernah cuba dikemukakan kepada golongan ilmuan di negara ini, namun tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

Walaubagaimanapun, pada Festival Masjid Istiqlal Jakarta pada tahun 1996, Anwar sekali lagi mengetengahkan idea tersebut dan ia mendapat perhatian dan sambutan banyak pihak.

Dalam satu program semalam, Anwar menjelaskan bahawa konsep tersebut bukan berkaitan politik kepartian tetapi landasan untuk mengangkat martabat negara agar mampu berdaya saing secara rahmah dan penyayang.

Konsep Malaysia Madani bukan retorik
"Nilai-nilai ini penting bagi kita untuk mengetahui bahawa dimensi yang disebut aspek manusiawi keinsanan itu penting dalam menjamin kerukunan hidup pelbagai kaum dan agama.

"Tetapi tidak berganjak daripada prinsip keyakinan agama kita," katanya pada Majlis Perasmian Pusat Khidmat Parlimen Tambun.
 

Post a Comment

0 Comments