Proses cetak sejuta al-Quran dengan terjemahan dipercepat

 


SEJUTA naskah al-Quran yang bakal dicetak oleh Malaysia dan diedarkan ke seluruh dunia akan disertakan dengan terjemahan merangkumi pelbagai bahasa.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Mohd Na'im, langkah mencetak terjemah itu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kitab suci umat Islam itu dapat dihayati.

Bagi tujuan itu jelasnya, pihak kementerian akan merangka perbincangan dengan pelbagai termasuk
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dalam masa terdekat.

"Perdana Menteri mahu kita respons apa yang telah berlaku di Sweden dengan cara keluarkan satu juta al-Quran di seluruh dunia dan memastikan kitab itu bukan sahaja dibaca tetapi dihayati.

"Kalau sekadar baca tapi tidak ada terjemahan mungkin agak sukar untuk kita agihkan di (seluruh) dunia.

"Jadi selari dengan hasrat Perdana Menteri, kita akan cetak naskhah al-Quran bersama terjemahannya," katanya dalam sidang media itu.

Beliau sebelumnya melancarkan Majlis Walimatul Urus Perdana bersempena Karnival Majis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka.

Perdana Menteri, ketika melawat Pameran Seni al-Quran dan Himpunan Artifak Dunia Islam Terbesar anjuran Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya pada Sabtu mengarahkan satu juta naskhah al-Quran dicetak dan diedarkan ke seluruh dunia.

Ia sebagai tindak balas terhadap provokasi ahli politik pelampau Sweden-Denmark, Rasmus Paludan terhadap umat Islam dengan bertindak membakar kitab suci itu ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Bakal disertakan terjemahan pelbagai bahasa
Dalam kenyataannya Anwar menegaskan, pendekatan mencetak dan menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama adalah cara paling tepat menjawab kegilaan ditunjukan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Stram Kurs itu.

Sementara itu menurut Mohd Na'im, usaha mengeluarkan naskah al-Quran itu akan disegerakan.

Post a Comment

0 Comments