Tinggalkan permusuhan politik kerana negara perlu gerak kedepan


MALAYSIA tiada pilihan selain membawa bersatu kembali demi membawa negara ke hadapan, kata seorang tokoh perniagaan.
 
Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim melalui satu tulisan berkata, bagi menjayakan maksud itu, perbezaan ideologi politik perlu ditinggalkan, ia bagi memastikan usaha memulihkan semula negara yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dijayakan.

Tambahnya, persaingan politik hanyalah satu komponen bersifat sementara yang tidak lebih penting dari kemakmuran, kesejahteraan dan keharmonian jangka panjang.

"Gelanggang politik dibuka setiap lima tahun sekali atau apabila PRU dilangsungkan, tetapi usaha membina negara gemilang perlu diteruskan sepanjang masa.

"Dunia menantikan langkah ke hadapan Malaysia. Mereka tidak melihat parti atau wakil rakyat, tetapi Malaysia.

"Ini bermakna langkah dan tindakan susulan Kerajaan Perpaduan, diharap akan membawa kestabilan berkekalan, yang secara langsung bakal menyumbang kepada kemakmuran bersama.

"Komuniti perniagaan dan perdagangan, yang mengambil sikap tunggu dan lihat hingga PRU15 berakhir, kini mengharapkan kestabilan berkekalan dan bersifat jangka panjang, yang penting untuk melihat manfaat lebih terjamin," katanya dalam kenyataan yang disiar portal Berita Harian itu.

Protem Presiden Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) itu turut memetik harapan dinyatakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri pada November lalu.  

Seri Paduka bertitah, "Kita perlu teruskan, kita perlu bergerak ke hadapan untuk negara kita yang tercinta ini."

Dalam kenyataan sama Irmohizam turut menegaskan bahawa segenap lapisan masyarakat meletakkan harapan agar Kerajaan Perpaduan akan membawa siri pembaharuan yang diharapkan semua.

Rakyat jelasnya sedar negara berhadapan pelbagai cabaran, isu dan masalah daripada ekonomi dan sosial hingga politik dan mahu ia ditangani secara holistik.

"Justeru, sudah tiba masanya setiap pemegang taruh bertanding pada pilihan raya dengan aktiviti kempen agresif dan sengit selama dua minggu, melupakan seketika atau sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga atau empat tahun akan datang untuk membolehkan kemakmuran, kesejahteraan dan keharmonian diperkukuhkan.


Masa untuk bina semula perpaduan negara
"Segala perkara memerlukan penyelesaian hanya boleh dilakukan dengan kehadiran atau pembabitan bersama semua pemegang taruh sebagai warganegara bertanggungjawab.


"Usaha itu tidak akan berjaya jika anggota masyarakat secara keseluruhan, sama ada orang perseorangan, pemimpin kerajaan dan bukan kerajaan serta parti politik di luar kerajaan, gagal atau enggan untuk sama-sama berkongsi peranan masing-masing," tegas Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) itu lagi. 

Post a Comment

0 Comments