Syarikat swasta tak lagi dibenarkan taja lawatan penjawat awam

PENTADBIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi melaksana tata kelola berakauntabiliti dan baik dalam pentadbirannya.

Ia apabila Perbendaharaan membuat ketetapan bahawa pembiayaan lawatan penjawat awam ke luar negara berkaitan perolehan kerajaan bukan lagi dibiayai syarikat swasta sebaliknya dibiayai sepenuhnya melalui obligasi kontrak.

Perkara itu dinyatakan melalui pekeliling baharu Tugasan Ke Luar Negara berkaitan Perolehan Kerajaan PK 2.14, yang berkuat kuasa 20 Disember lalu.

Antara tugasan luar negara yang disenaraikan termasuk pemeriksaan sebelum penerimaan (PDI), ujian penilaian kilang (UPK), laporan pemantauan projek (PMR), mesyuarat pelaporan eksekutif (ERM), ujian penerimaan akhir (FAT),Transfer of Title (TOT); dan latihan.

"Tugasan tersebut mestilah untuk tujuan mengesahkan status pembuatan produk, pemantauan dan perbincangan isu-isu berkaitan projek atau produk tersebut antara agensi dan kontraktor," kata Perbendaharaan dalam pekeliling tersebut.

Peleliling itu turut menyatakan jumlah pegawai terbabit dengan tugasan, hendaklah dihadkan kepada yang perlu sahaja serta berkaitan dengan kepakaran teknikal perolehan berkenaan.

Bilangan wakil kerajaan hendaklah tidak lebih daripada tiga orang pegawai terdiri daripada seorang pegawai yang terbabit dengan perolehan dan sekurang-kurangnya seorang pegawai teknikal.

Turut ditetapkan ialah nilai perolehan bagi tugas ke luar negara selepas pelawaan tender mestilah melebihi RM10 juta kecuali perolehan haiwan.

Tempoh tugasan yang dibenarkan adalah tidak melebihi tujuh hari (tidak termasuk hari perjalanan) kecuali bagi program latihan yang perlu ditentukan mengikut syarat kontrak.

Bagi perjalanan luar negara untuk latihan, pemindahan teknologi, kaedah atau cara penggunaan serta penyelenggaraan peralatan dan kelengkapan yang diperoleh bagi meningkatkan kemahiran pegawai, ia mesti dinyatakan dalam kontrak dengan segala butiran dan kos sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kontrak.

Kos adalah berdasarkan kelayakan rasmi mengikut gred pegawai merangkumi bilangan pegawai terbabit, elaun makan minum, kos pengangkutan, penginapan, lain-lain elaun, tempoh lawatan atau latihan, tarikh tentatif dan kekerapan lawatan atau latihan.

"Jika perolehan itu akan membabitkan lawatan atau latihan ke luar negara, agensi hendaklah menyatakan sedemikian di dalam dokumen pelawaan tender bahawa pembekal atau kontraktor hendaklah menyatakan anggaran kos berkaitan secara berasingan dan jelas dalam tawaran tender.

"Jika tender telah dipelawa tanpa menyatakan kos lawatan atau latihan yang terbabit, maka agensi tidak dibenarkan untuk membuat sebarang lawatan atau latihan berkaitan perolehan itu," kata pekeliling itu lagi.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim yang dipetik laporan media berkata langkah terbaharu diambil oleh Perbendaharaan itu adalah untuk mewujudkan lebih ketelusan dan akauntabiliti dalam urusan perolehan kerajaan.

“Keperluan perjalanan untuk kerja-kerja pemeriksaan, antara lainnya, mesti ditetapkan terdahulu dalam kontrak dan kos yang disenaraikan.

Bagi pastikan tata kelola lebih berakauntabiliti
“Syarikat yang terbabit dalam kontrak tidak dibenarkan membiayai perjalanan sedemikian kerana hanya dengan cara itu, penilaian oleh wakil kerajaan boleh menjadi bebas,” katanya dipetik FMT.

Susulan pekeliling terbaharu itu, amalan menerima lawatan atau latihan yang dibiayai pembekal atau kontraktor kini adalah dilarang sama sekali dan pegawai kerajaan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Manakala pembekal atau kontraktor yang menawarkan lawatan atau latihan keluar negara boleh diambil tindakan termasuk disenarai hitam dan tidak dipertimbangkan untuk perolehan lain.

Post a Comment

0 Comments