KBS perhalusi mekanisme selesai isu disuarakan atlet


USAHA bagi menyelesaikan segala permasalahan termasuk isu berbangkit yang disuarakan persatuan sukan dan atlet dalam negara sedang giat dijalankan Kementerian Belia dan Sukan.

Timbalan Menteri, Adam Adli Abdul Halim berkata, kementerian telah mengadakan sesi libat urus dan kini memperhalusi mekanisme terbaik menyelesaikan isu disuarakan terutama berkaitan kebajikan atlet, fasiliti sukan dan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

"Kita dalam proses untuk kumpulkan semua input yang kita ambil daripada persatuan sukan dan sukan para, atlet podium serta atlet kebangsaan.
 
"Menerusi sesi libat urus tempoh hari kita dapat gambaran lebih jelas tentang permasalahan dihadapi mereka, masalah yang berlarutan dan mungkin sudah pun disuarakan sebelum ini," katanya pada Isnin.

Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda parti KEADILAN ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada majlis pelepasan dua wakil skuad atlet sukan elektronik (E-sukan) negara ke Kejohanan Dunia Mobile Legends di Indonesia.
 
Sementara itu, ketika diminta mengulas pembangunan sukan elektronik di negara ini, Adam memaklumkan kementerian dalam fasa akhir memuktamadkan garis panduan menguruskan pembangunan sukan tersebut.

Menurutnya garis panduan  itu amat penting bagi menguruskan tatakelola sukan tersebut secara lebih teratur dan selamat.

"Semua sukan dimainkan termasuk yang profesional ada garis panduan yang akan menguruskan tatakelola pengurusan sukan itu sendiri, jadi sangat penting untuk kita memiliki garis panduan seperti itu.

E-Sukan juga bakal punyai organisasi tersusun
"E-sukan satu sukan yang tumbuh begitu rancak dalam kalangan komuniti negara ini dan garis panduan ini akan memastikan ia mempunyai organisasi yang tersusun ke arah pembangunan yang padu," katanya.

Beliau berkata garis panduan itu juga akan membantu golongan belia yang berkecimpung dalam sukan berkenaan sekali gus bertindak sebagai satu mekanisme efektif melindungi data penggiatnya di masa akan datang.

Post a Comment

0 Comments