Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis berkuatkuasa tahun depan


SURUHANJAYA Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang sebelum ini diluluskan di Parlimen sebagai undang-undang akan mula dikuatkuasakan mulai Jun 2023, kata Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap dalam sidang media  selepas mengadakan Lawatan Kerja dan sesi taklimat bersama pengurusan kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa, Saifuddin berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan terperinci dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengenai tarikh penguatkuasaan IPCC itu.

“Dengan Datuk Wan Ahmad kita sudah bincang, bulan enam (Jun) ini (2023) akan berkuatkuasa,” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) IPCC 2020 diluluskan Parlimen pada 26 Julai lalu, ia bagi mempertingkatkan integriti pasukan PDRM dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu.
 
IPCC akan memberi kuasa penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

IPCC bertujuan tingkat kepercayaan orang ramai


Keanggotaan dalam IPCC adalah terbuka kepada semua individu, termasuk penjawat awam dan pesara polis, yang dipilih berdasarkan kelayakan pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan apa-apa perkara lain yang akan ditentukan kemudian.


Bagi membolehkan siasatan IPCC dijalankan secara inklusif dan komprehensif, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) boleh dijemput untuk bekerjasama dengan pasukan siasatan IPCC terutamanya bagi kes kematian dalam tahanan.

Post a Comment

0 Comments