Spekulasi PM akan umum barisan Kabinet tersebar lagi


SEKALI lagi spekulasi bahawa Perdana Menteri akan mengumumkan barisan kabinetnya dalam masa terdekat ini.

Berita Harian dalam laporan semalam memetik kenyataan Naib Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang seolah-olah memberi gambaran kemungkinan pengumuman mengenainya akan dibuat hari ini.

"Saya pilih untuk tidak komen tentang ini (senarai Kabinet)...biar Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan esok (Jumaat) seperti yang dilaporkan," katanya ringkas.

Jumaat lalu, pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil.

Sejak itu pelbagai spekulasi dibangkitkan mengenai anggota Kabinet diterajui Anwar termasuk mengenai dua jawatan timbalan perdana menteri yang dikatakan akan diberikan kepada wakil Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Manakala Malaysiakini dalam laporan yang menyebut sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata,  Anwar mungkin mendedahkan sebahagian senarai nama ahli kabinet baru esok.

Walau bagaimanapun menurut laporan itu, jika pengumuman dibuat, tidak mungkin ahli kabinet yang dinamakan akan mengangkat sumpah pada hari yang sama.

Anwar hari ini dijadualkan berada di Tambun selain mengadakan pertemuan dengan Sultan Perak, manakala Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, juga dijangka ke luar negara pada Sabtu.

Anwar janji kecilkan saiz kabinet


Sinchew Daily sebelum ini membuat spekulasi bahawa Anwar akan mengehadkan bilangan menteri sekitar 25 orang.


Selain Anwar sebegai Perdana Menteri, KEADILAN akan diberi empat jawatan menteri, BN akan mendapat jawatan timbalan perdana menteri ditambah empat jawatan menteri, GPS Sarawak akan mendapat jawatan timbalan perdana menteri ditambah tiga menteri, DAP akan mendapat lima menteri, Amanah akan dapat dua menteri dan Upko akan dapat seorang.

Post a Comment

0 Comments