Perdana Menteri balik Tambun hari ini


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan pulang ke kawasan Parlimen diwakilinya, Tambun hari ini.

Anwar yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, dijadual akan menghadiri beberapa program termasuk Solat Jumaat dan Kenduri Rakyat yag dijadualkan akan diadakan di asjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, dekat Meru Raya, bermula jam 12 tengah.
 
Jabatan Penerangan Perak melalui atur cara dikongsikan berkata, perdana menteri ke-10 itu  dijadual tiba ke program itu kira-kira jam 12.50 tengah hari dan program akan dimulai dengan Solat Jumaat sebelum disusuli kenduri rakyat yang dijangka selesai jam 3 petang.

Turut akan hadir ke majlis itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak.

Sebelumnya pada sebelah pagi, Anwar, 75, dijadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pada jam 10 pagi.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu kemudian akan menyertai sesi tinjauan mesra bersama warga Parlimen Tambun di Pasar Tanjung Rambutan bagi menzahirkan penghargaan kepada pengundi dan penyokongnya.

Anwar turut dijadualkan akan melawat tapak Klinik Kesihatan Manjoi yang dalam proses untuk dibangunkan di Jalan Masjid di Kampung Masjid.

Anwar menawan kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 dengan majoriti 3,736 undi dalam saingan empat penjuru.

Beliau memperoleh 49,625 undi mengatasi Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 45,889 undi, selain Datuk Aminuddin Md Hanafiah daripada Barisan Nasional (BN) dengan 28,140 undi dan Abdul Rahim Tahir daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dengan 1,115 undi.

Anwar mengetuai HARAPAN yang menyaksikan gabungan KEADILAN, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan rakan sekutu MUDA memperoleh 82 kerusi pada PRU15.

Buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, keputusan PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong kemudian memperkenan Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi mengetuai kerajaan perpaduan yang turut dianggotai BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Ahli Parlimen Bebas.

Selain di peringkat persekutuan, kerajaan negeri Perak terbentuk daripada kerjasama BN dan HARAPAN yang bersetuju untuk bergabung membentuk kerajaan negeri melalui konsep 'kerajaan perpaduan' pada 21 November lalu.

Anwar dijadualkan hadiri beberapa program
Pembentukan kerjasama dua gabungan parti itu memperoleh sokongan 33 ADUN daripada keseluruhan 59 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah 30 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Perkara sama turut berlaku di Pahang apabila HARAPAN dan BN saling bekerjasama membentuk kerajaan negeri. 

Post a Comment

0 Comments