Perkasa sistem pendidikan, KPM tumpu tujuh teras


KERAJAAN melalui Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan kepada tujuh teras bagi menambah baik sistem pendidikan negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, teras pertama yang difokuskan pihaknya adalah untuk memperkukuh komunikasi antara kementerian dan sekolah supaya menjadi lebih cekap serta telus.

Langkah itu jelasnya bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru serta murid dimana aduan atau cadangan boleh dikemukakan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan KPM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan Kaunter Khidmat Pelanggan.

"Saya akan pastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan," katanya ketika sidang media khas pada Khamis.

Selain usaha mengukuhkan komunikasi antara kementerian dan sekolah, teras seterusnya adalah melibatkan penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

"KPM yakin ia akan mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme.

"Teras ketiga pula memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuk aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.

"Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian berkaitan bagi memastikan pelajar dapat dibantu dengan sewajarnya," katanya.

Kerajaan juga tegasnya memberi perhatian kepada teras keempat iaitu terhadap isu keciciran pendidikan, masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan.

"Kelima, memberi fokus kepada kebajikan guru kerana mereka adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan termasuk tumpuan terhadap tekanan yang dihadapi guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan," tambahnya lagi.

Selain itu, Fadhlina berkata, teras keenam KPM adalah memberi tumpuan kepada usaha untuk mengubah suai dan menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Untuk teras ketujuh, katanya, KPM akan meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah.

Isu babitkan guru turut diambil perhatian


"Teras terakhir ialah meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah. Kementerian akan membuat libat urus bersama agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan di bawah KPM.


"Saya akan mengarahkan KSU untuk melihat perkara ini. KPM akan mengemukakan cadangan yang bersesuaian untuk pertimbangan Jemaah Menteri," katanya. 

Post a Comment

0 Comments