Penduduk mohon campur tangan PM dalam isu pengusiran

 

PENDUDUK Kampung Sungai Baru, di Kampung Bharu,Kuala Lumpur mendakwa mereka dianiaya apabila diarahkan mengosongkan kediaman mereka menjelang pertengahan Januari depan.

Ahli Jawatankuasa bertindak penduduk, Johari Zakaria dalam satu sidang media hari ini berkata satu notis dibawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bertarikh 19 Disember telah diserahkan supaya penduduk berpindah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis diterima.

Jelasnya tempoh singkat diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah & Galian Persekutuan itu adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan terutama ada penduduk yang dakwanya masih belum menerima pampasan walaupun telah diserahkan borang K (notis bahawa milikan tanah atau peletkhakan petak telah diambil)

"Wang pampasan yang tidak setimpal diterima penduduk baru seminggu yg lepas, dalam masa 30 hari bagaimana penduduk terbabit mahu menyewa atau membeli rumah

"Ada tidak menerima wang pampasan telah menerima borang K. Ada yang sudah terima pampasan, tapi apabila nak ditunaikan di pejabat Amanah Raya,wang tersebut tiada.. ini tak masuk akal," jelasnya.  

Johari juga berkata, pihaknya telah membuat rayuan kepada agensi terbabit supaya tempoh untuk penduduk berpindah dilanjutkan sekurang-kurangnya 6 bulan lagi bagi memudahkan penduduk membuat persediaan.

Namun jelasnya beliau kecewa rayuan itu ditolak dengan alasan arahan itu dibuat pihak atasan.

"Kami tak menolak pembangunan, tapi ia harus dilakukan dengan proses-proses yang ditetapkan seperti mengadakan perbincangan dengan penduduk dan sebagainya, dan ianya tidak dilakukan.

"Ia hanya beri ruang untuk pemaju mencari keuntungan,' tambahnya sambil berharap kerajaan yang baru dibentuk dapat menyemak semula akta berkenaan supaya tidak menekan pemilik tanah.
 
Sementara itu bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad yang turut hadir pada sidang media itu turut mengesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius itu disuarakan penduduk.

Beliau minta campur tangan dari kerajaan supaya arahan pemindahan itu dapat ditangguhkan atau dibatalkan supaya kajiaan semula boleh dilakukan.

"Saya bagi pihak penduduk Kampung Sungai Baru merayu kepada Perdana Menteri batalkan atau tangguh dan buat satu perjumpaan dengan pemilik-pemilik sendiri.

"Kita tahu pembangunan di sini akan hasilkan keuntungan besar, tapi penilaian oleh jabatan  hartanah itu terlalu rendah sedangkan penilaian oleh syarikat swasta lebih tinggi.

PM digesa tangguh atau batalkan pengusiran
"Arahan untuk mengosongkan kawasan ini bukan dari mahkamah, ia dari jabatan kerajaan. Tak ada masalah kalau Perdana Menteri tangguhkan atau batalkan," rayunya.

Difahamkan, sebanyak 72 unit rumah flat dan 37 rumah teres milik penduduk telah diwartakan mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun 2021 iaitu ketika seluruh negara dikenakan perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19

Bayaran pampasan dibuat dalam lingkungan RM198,000 hingga RM350,000 mengikut prinsip Jadual Pertama, APT 1960.

Bagaimanapun penduduk tidak bersetuju dan mahukan pampasan dibayar dengan nilai semasa iaitu sebanyak RM1,500 bagi satu kaki persegi mengikut keluasan rumah yang diambil.

 
 
 

Post a Comment

0 Comments