Jangan seleweng bekalan minyak masak bersubsidi - KPDN



KEMENTERIAN
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi yang diberi lesen yang menyeleweng bekalan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi amaran kepada syarikat pembungkusan semula  agar tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan salah guna barang kawalan bersubsidi itu.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat pembungkusan semula minyak masak yang didapati salah guna dan menyeludup barang kawalan bersubsidi ke sempadan.

"Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan bekalan barangan kawalan terutama minyak masak bersubsidi di dalam negara sentiasa mencukupi," katanya di Johor Bahru pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai menyentuh tindakan segelintir industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menggunakan minyak masak peket bersubsidi untuk kegunaan berniaga, sedangkan tindakan itu dilarang.

Menegaskan bahawa kerajaan hanya melonggarkan penggunaan minyak bersubsidi untuk digunakan golongan peniaga kecil B40, beliau walau bagaimanapun menjelaskan ada mekanisme sudah dicadang bagi memudahkan peniaga IKS untuk mendapat subsidi bagi minyak masak.

Jangan salah guna bekalan minyak bersubsidi
"Mereka yang juga golongan B40 ini, kita berikan kelonggaran untuk gunakan minyak masak peket bersubsidi.

"Malah, satu mekanisme sudah dicadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar peniaga IKS ini dapat menggunakan minyak masak peket bersubsidi," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong,

Salahuddin turut mengulas isu penguatkuasaan dengan mencadangkan supaya pegawai penguat kuasa mengambil langkah mesra rakyat dalam menegur peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan kecil.

"Kita perlu faham, golongan peniaga kecil kini dalam tempoh pemulihan selepas pandemik. Anggota penguat kuasa boleh memberi nasihat dan teguran dahulu sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.

"Namun begitu tiada kompromi bagi peniaga yang didapati melalukan aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments