K'jaan tak mahu insiden 'sotong ride' berulang


KERAJAAN
tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjur tapak pesta yang melanggar peraturan sehingga mendedahkan pengunjungnya kepada risiko, tegas Nga Kor Ming.

Kor Ming yang merupakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan membuat ketegasan itu ketika mengulas insiden 'fun fair' di Bandar Puncak Alam pada Isnin yang mencederakan tiga pengunjung.

Menurutnya, pihak kementerian telah dimaklumkan bahawa tapak pesta itu beroperasi tanpa lesen.

Justeru beliau telah mencadangkan supaya tindakan tegas diambil terhadap penganjur.

"Syor itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.Sabit kesalahan penganjur berdepan denda RM25,000 dan penjara tiga tahun.

"Ini mengikut undang-undang dibekalkan, maka kita serahkan kepada pihak berkuasa,"jelasnya dalam satu sidang media pada Rabu.

Kor Ming sebelumnya hadir bagi melihat tahap kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menghadapi Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat agensi itu di Putrajaya.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir


Kejadian di Eco Grandeur yang tular di media sosial itu menyebabkan tiga mangsa melibatkan dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh dari permainan ‘Sotong Ride’  yang sedang bergerak.

Kesemua mangsa termasuk seorang yang mengalami kecederaan parah   dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengarahkan siasatan dan laporan penuh dibuat susulan insiden itu.

Menteri tak mahu kejadian sama berulang
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang dipetik laporan Berita Harian berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diingatkan agar meneliti semua aspek berkenaan supaya kejadian sama tidak berulang.

"Walaupun (hanya) ada kecederaan dan tidak membabitkan kehilangan nyawa, semua kena bertanggungjawab dalam hal ini dan PBT perlu lebih prihatin dalam menyemak prosedur serta kelulusan yang diberikan.

"Apa-apa pengoperasian fun fair, taman tema atau sebagainya harus mendapat kebenaran sebab ia membabitkan orang ramai yang datang," tegas Amirudin.

Post a Comment

0 Comments