SIDANG DEWAN RAKYAT yang dijadualkan bakal diadakan pada 19 Disember ini akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.
Ia susulan Azhar Harun akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang pada 19 Disember ini.
"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, saya perlu mengosongkan kerusi pada tengah malam 18 Disember.
"Jadi tiada Speaker sebelum dewan bersidang jam 10 pagi keesokan harinya," katanya yang dipetik akhbar The Star.
Azhar yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke-10, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 13 Julai 2020 setelah berlakunya 'Langkah Sheraton'.
Sementara itu Azhar menjelaskan pada 19 Disember ini, Setiausaha Dewan Rakyat kemudian akan memanggil sidang diadakan, dan akan disusuli dengan usul melantik speaker baru.
"Jika ada satu nama saja yang dicadangkan, setiausaha akan buat pengumuman dan speaker tersebut akan mengangkat sumpah.
"Namun, undian perlu dibuat jika lebih seorang calon diusulkan," katanya lagi seperti dipetik.
Menurut aturan mesyuarat yang dihantar kepada ahli parlimen hari ini, agenda pertama sidang adalah pemilihan speaker yang baru.
Ia dilihat merupakan ujian pertama terhadap majoriti yang dimiliki Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Siapa Speaker baharu yang bakal dilantik? |
Keesokannya, iaitu pada 20 Disember, sidang Dewan Rakyat akan membentangkan "belanjawan mini" untuk belanja pengurusan, termasuk gaji penjawat awam, sebelum menteri kewangan yang baru merangka belanjawan penuh untuk tahun depan.
0 Comments