Apa program rasmi menteri hari ini?


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mempengerusikan mesyuarat khas jemaah menteri yang pertama hari ini sekaligus menyaksikan barisan kabinet yang dilantik minggu lalu memulakan tugas mereka secara rasmi.

Sesuai dengan kenyataannya sebelum ini, Perdana Menteri dijangka akan mengumumkan beberapa peraturan baharu kepada jemaah menterinya termasuk berkaitan cara mengurus kementerian; cara mendampingi dan bekerjasama dengan penjawat awam; penetapan cara untuk ahli Jemaah Menteri membuat pengumuman berkaitan dasar, serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya.

Dua Timbalan Perdana Menteri dan beberapa jemaah menteri turut dijadual mengimbas kad perakam waktu (clock-in) di kementerian masing-masing, sebagai simbolik permulaan tugas rasmi mereka.

Timbalan Perdana Menteri  Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka mengadakan sesi clock-in, pada sekitar 8 pagi dan akan menghadiri majlis sambutan selamat datang sebagai menteri selepas mesyuarat khas itu pada 10 pagi.

Timbalan Perdana Menteri  Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi akan mengimbas kad perakam waktu tugas menteri pada 8.30 pagi di bangunan kementerian itu dan dijangka clock-in di Pejabat Perdana Menteri pada 12 tengah hari.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Sains dan Teknologi Chang Lih Kang; dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik laporan Bernama turut mengesahkan  akan mengimbas kad perakam waktu pagi ini sebelum ke mesyuarat khas bersama perdana menteri.
 
Menteri Komunikasi Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata mereka akan memulakan tugas rasmi di kementerian masing-masing, usai mesyuarat khas itu.

Kabinet adakan mesyuarat khas pagi ini
Menteri Agama Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata beliau akan merakam detik simbolik memulakan tugasnya secara rasmi pada 9 pagi serta mengadakan majlis bacaan Yasin di kementerian itu sebelum menghadiri mesyuarat khas Kabinet.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan pula dijadual hadir ke majlis sambutan serta memulakan tugas sebagai menteri di Foyer Wisma Pertahanan pada 2.30 petang.

 
 

Post a Comment

0 Comments