Tawaran hebat untuk pengundi Parlimen Sungai Buloh


CALON
Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh, R. Ramanan membuat tawaran mengejutkan buat pengundi di kawasan itu.

Bercakap pada Ceramah Mega Harapan di Tapak Pasar Malam Paya Jaras malam tadi, beliau menawarkan untuk tidak mengambil gajinya sebagai Ahli Parlimen sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, wang gaji berkenaan akan dikembalikan kepada rakyat untuk kegunaan rumah ibadat seperti masjid, kuil dan tokong sekitar kawasan Parlimen Sungai Buloh.

“Saya hendak berkhidmat, gaji saya kalau dapat jadi Ahli Parlimen saya tidak akan ambil seringgit pun.

“Duit itu akan diberi kepada penduduk Sungai Buloh untuk kegunaan masjid, surau, kuil dan tokong,” katanya.

Selain tawaran itu, Ramanan berkata beliau mahu memfokuskan usaha menyelesai masalah tempatan antaranya melalui usaha menambah baik infrastruktur seperti jalan raya.

Sektor ekonomi setempat juga akan turut diberi perhatian, selain merancakkan sektor tersebut, beliau menyatakan hasrat untuk menyelesaikan isu peniaga kecil yang tidak teratur selain isu pemilikan tanah dengan melaksana program penempatan semula golongan peniaga tersebut.

“Untuk anak muda rancangan saya adalah untuk membina satu pusat sukan dan satu tempat untuk mereka bermain permainan dalam talian,” katanya dipetik.

Untuk rekod, Parlimen Sungai Buloh adalah kerusi campuran yang sebelum ini disandang R. Sivarasa dari KEADILAN sejak 2008. Pada PRU lalu beliau memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti besar 26,634 undi namun digugurkan kali ini atas faktor kesihatan.

Wang gaji dipulangkan untuk kegunaan rakyat
Walaupun pada PRU14, HARAPAN memenangi kerusi itu dengan jumlah sokongan yang selesa, namun pertembungan kali ini dijangka sengit apabila BN mempertaruhkan Khairy Jamaluddin di kawasan itu.

Selain Ramanan dan Khairy, mereka turut berdepan empat pencabar lain iaitu Mohd. Ghazali Md. Hamin (PN), Mohd. Akmal Mohd Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.

Post a Comment

0 Comments