Tangkap segera 'batu api' kebencian kaum, tegas Sany Hamzah

 


PIHAK berkuasa polis digesa segera mengambil tindakan terhadap individu yang menjadi 'batu api' dengan membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada ketegangan kaum dan agama sepanjang berlangsungnya kempen pilihan raya baru-baru ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan berkata, beberapa hantaran berbaur kebencian kaum turut telah dikesan tular di media sosial, dan pihak berwajib juga mesti mengambil tindakan tegas terhadapnya.
 
"Perkongsian di media sosial ini disifatkan sebagai menyentuh isu perkauman dan cubaan untuk menyemai kebencian dalam kalangan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum. Jika dibiarkan boleh membawa kepada perpecahan.

"Sebab itu saya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ambil tindakan tegas dan segera kerana doktrin-doktrin agama yang dimainkan oleh pelampau agama dalam PRU-15 serta isu perkauman ini, dibimbangi boleh menghancurkan negara dengan memesong pemikiran anak-anak muda," katanya.

Terdahulu wakil daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) termasuk dari parti MUDA membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di Kuala Lumpur.

Mereka menggesa semua yang memainkan isu kebencian kaum dan agama tanpa mengira fahaman politik diambil tindakan.

Tindakan pihak berkenaan mendendangkan isu seperti itu hanya akan meracuni pemikiran golongan muda dan boleh menjerumus negara kepada situasi kacau bilau.

Wakil dari HARAPAN juga akan membuat laporan polis mengenai perkara itu di seluruh negara.

 Sebagai rekod, isu perkauman dimedia sosial meningkat dalam tempoh 48 jam selepas hari pengundian pada Sabtu.

Antara hantaran yang berunsur anti-DAP (anti-Cina) memberi amaran kemungkinan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Hantaran bersifat 'cubaan menakut-nakutkan' itu dilihat disasarkan kepada orang Melayu dan ia ditonton ratusan ribu penonton di platform itu.

Naratif serupa turut dikongsikan dengan disasarkan kepada orang Melayu-Islam, mendakwa DAP akan menguasai politik jika parti itu dibenarkan menjadi sebahagian kerajaan baru yang ditubuhkan dengan mendakwa azan tidak lagi akan kedengaran sekiranya parti itu menjadi sebahagian dari kerajaan.

Beberapa pemimpin terutama dari PAS turut menyebar kenyataan yang berunsur fitnah, Presiden PAS sendiri menuduh DAP sebagai parti berideologikan komunis. Ketua PAS Perak menuduh perkahwinan sesama jenis akan dibenarkan sekiranya Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Tidak sekadar itu, seorang pemimpin bahagian parti itu turut 'menerakakan' pihak yang mengundi calon BN atau HARAPAN.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa mengundi HARAPAN berbahaya kerana gabungan it menaja gerakan Yahudi dan terdapat (agenda) Kristianisasi di Malaysia.

Berpolitik dengan fakta, jangan tabur auta
Awal minggu ini, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, memberi amaran tegas termasuk menggunakan Akta Hasutan terhadap mereka yang memuat naik hantaran yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut menzahirkan kebimbangannya berhubung sentimen perkauman melampau yang sedang dimainkan ketika ini di laman sosial TikTok.

Jelasnya semua pihak mesti menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara majmuk terdiri dari pelbagai kaum dan ia mesti dihormati.

Post a Comment

0 Comments