SOKONGAN masyarakat Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berada di paras terendah dengan peratusan 26.7 peratus, dakwa Rafizi Ramli.
Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, dapatan itucberdasarkan satu kaji selidik yang dilakukan pada Rabu dan Khamis lalu melibatkan 1,226 pengundi berdaftar yang dipilih di seluruh negara.
Manakala kajian itu mendapati sokongan terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah hampir sama iaitu di antara 22 ke 23 peratus.
"Tahap sokongan Melayu kepada HARAPAN kali ini adalah lebih tinggi daripada PRU14.
"Jumlah pengundi Melayu yang belum membuat keputusan meningkat dari minggu lepas kepada 24 peratus iaitu pertambahan 4 peratus dalam masa seminggu.
"Ini menunjukkan lebih ramai pengundi Melayu menukar keputusan dari mengundi UMNO/BN pada minggu lepas kepada 'belum buat keputusan' yang membayangkan peralihan undi Melayu kepada PH," katanya dalam satu kenyataan.
Beberapa kajian sebelum ini turut mencadangkan HARAPAN bakal memenangi kerusi parlimen terbanyak, walau bagaimanapun sukar dipastikan apakah ada mana-mana blok akan mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan secara bersendirian.
Sementara itu, Rafizi dalam kenyataannya turut memaklumkan sokongan masyarakat Cina dan India terhadap HARAPAN telah kembali sebagaimana PRU14.
Sokongan keseluruhan pengundi kepada PH mengatasi BN dan PN di semua peringkat umur.
"Peningkatan paling ketara ialah di kalangan pengundi 55 tahun ke atas, HARAPAN mendahului pada paras 36 peratus berbanding BN, 31 peratus dan PN, 11 peratus.
"Ia diikuti dengan kumpulan pengundi 25 ke 54 tahun, HARAPAN mendahului pada paras 30 peratus berbanding BN, 22 peratus dan PN, 18 peratus.
"Sokongan keseluruhan pengundi muda 18 ke 24 tahun adalah hampir sama bagi ketiga-tiga gabungan iaitu dalam julat 20 ke 25 peratus," ulasnya.
Apakah rakyat akan benam Umno-BN kali ini? |
"Saya doakan rakyat Malaysia terus membulatkan hati untuk membuat perubahan demi masa depan bila mengundi esok (Sabtu)," ujar Rafizi seperti dilapor Sinar.
0 Comments