Oleh: DR DZULKEFLY AHMAD | Alhamdulillah wa Syukurlilah. Obor perjuangan Reformasi yang dinyalakan Anwar Ibrahim sejak lebih dua dasawarsa, atau lebih tepat lagi 24 tahun, bakal menerangi seluruh pelusuk tanah air ini apabila dia diangkat sebagai perdana menteri kesepuluh.
Sebagai tokoh Islam yang disegani seantero dunia pula, Anwar membawa sinar harapan baru dalam agenda kerasnya melawan serta membenteras rasuah, nepotisme, salah guna kuasa dan mutakhir ini kleptokrasi atau rompakan harta dan kejayaan negara oleh para pemimpin negara.
Amat didambakan dengan kepemimpinan tokoh Reformasi ini, ekonomi Malaysia sekali lagi akan kembali dalam trajektori untuk dimartabatkan sebagai antara Harimau Asia.
Segala perit jerih yang pernah diharungi dalam pelbagai ranjau dan liku-liku jatuh dan bangun perjuangannya, termasuk dipenjara, diaibkan, dihina, dikhianati dan difitnah, sebaliknya menjadikan insan berintelek tinggi ini berjiwa waja. Sekaligus cekal dan tabah mengharungi seribu satu cabaran.
Ayuh kita bersama mendoakan agar Anwar akan terus diberi taufiq dan inayah Allah untuk terus memimpin negara tercinta ini.
Semoga Malaysia jadi lebih aman dan bermaruah |
Malaysia amat berhajatkan tokoh ini buat memacu Reformasi atau 'lslah' yang sebenarnya.
Pepatah 'Arab ada menyebutkan: "Orang yang tidak mempunyai sesuatu, tidak dapat memberi sesuatu itu".
DZULKEFLY AHMAD ialah pengarah strategi Amanah dan merupakan mantan Menteri Kesihatan.
0 Comments