Rafidah Aziz naik pentas Grand Finale HARAPAN


BEKAS MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang pernah digelar 'wanita besi' muncul di pentas Grand Finale Parlimen Segambut di Taman Rimba Kiara malam ini bagi menyokong calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Rafidah yang berpengalaman dan dihormati pegawai kerajaan, barisan diplomat serta rakan sejawatan dari luar negara turut mengingatkan rakyat agar keluar mengundi beramai-ramai pada PRU15 esok.

Katanya, pilihan raya kali ini adalah proses penting bagi memastikan barisan pemimpin yang dipilih dapat memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat.

"Jangan pilih calon yang terbukti teruk. Mereka bukan mahu berkhidmat pada rakyat tetapi mahu berkhidmat pada diri sendiri.
 
"Buang ahli politik toksik dalam semua kerusi Parlimen. Potong mereka supaya mereka tidak boleh jadi sebahagian dari kerajaan.

"Jangan mengeluh jika salah pilih. Orang kata saya dah bersara dan tidak perlu campur lagi dah, saya kata tidak boleh kerana ini adalah masa depan negara. Saya tidak akan putus asa," katanya.

Dalam ucapannya, Rafidah memberitahu, beliau sudah lebih sebulan sukar bernafas kerana masih belum sembuh daripada Covid-19 berpanjangan (long Covid), namun datang bagi memastikan Hannah Yeoh yang merupakan calon HARAPAN dikawasan itu menang.

"Kaki saya dan badan-badan juga sakit. Saya terpaksa makan ubat 'painkiller'. Saya harap tidak pengsan di atas pentas ini," katanya.

Rafidah mahu pastikan Hannah Yeoh menang
Antara pemimpin HARAPAN dan aktivis yang hadir pada ceramah Grand Finale ini adalah calon Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Gobind Singh Deo (Damansara), Datuk Hans Isaac, Datuk S Ambiga dan Haris Ibrahim.

Parlimen P117 Segambut menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Hannah dan V Prabagaran (Perikatan Nasional) dan Datuk Daniel Ling Sia Chin (BN).
 

Post a Comment

0 Comments