SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) menetapkan 7 Dis untuk hari pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah, dengan penamaan calon pada 24 Nov.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata pengundian awal akan diadakan pada 3 Dis.
Terdapat 13 hari untuk berkempen, manakala permohonan untuk undi pos boleh dibuat secara dalam talian dari 18 hingga 22 Nov.
susulan itu pengundian tidak akan dijalankan pada 9 November ini di Padang Serai seperti mana di kerusi-kerusi parlimen lain di seluruh negara.
Untuk rekod, Pilihan Raya Padang Serai terpaksa dijadualkan semula susulan kematian salah seorang calonnya, Karupaiya Mutusami.
Karupaiya yang merupakan calon bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) meninggal dunia pada Rabu akibat komplikasi jantung ketika dirawat di Hospital Kulim.
Mendiang sebelumnya dimasukkan ke Hospital akibat muntah dan penat setelah dipercayai mengalami pendarahan pada bahagian perut.
Karupayia yang memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada PRU14 dijadualkan berdepan pertembungan enam penjuru antara beliau, Hamzah Abd Rahman (PEJUANG); Datuk C Sivaraj (BN), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan calon Bebas, Sreanandha Rao pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada PRU14, Karupaiya memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS, Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menyifatkan mendiang yang merupakan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1 sebagai seorang yang komited dalam perjuangan dan amanah digalasnya.
"Mendiang seorang yang sangat komited dan mengekalkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang sepanjang penggal lalu menjadi Ahli Parlimen.
"Mendiang sangat bangga dengan pencalonan beliau untuk kali kedua di Parlimen ini dan ketika lawatan saya ke pejabat beliau baru-baru ini, beliau menyenaraikan pihak yang ingin dibantunya.
Kematian mendiang menyedihkan banyak pihak, beliau akan diingati sebagai pemimpin low profile yang sentiasa memikirkan hal hidup rakyat.
Kurang dua jam sebelum disahkan meninggal dunia, mendiang sempat memuat naik kemas kini terbaharu di Twitter.PRK diadakan susulan kematian seorang calon
Dalam kemas kini jam 12.31 tengah hari itu, mendiang memuat naik video sesi soal jawab di Dewan Rakyat Julai lalu, di mana beliau menyuarakan isu kenaikan harga barang, termasuk barang makanan ruji bagi penduduk kampung seperti ikan kering.
"Selalu di barisan hadapan suarakan derita rakyat," tulisnya pada kapsyen.
0 Comments