AHLI PARLIMAN Baling dari Perikatan Nasional (PN), Hassan Saad disiasat susulan tuduhannya bahawa Perdana Menteri, Datu Seri Anwar Ibrahim ialah “ejen Israel”.
Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin dipetik laporan media berkata siasatan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Isnin lalu, tular rakaman audio berdurasi 58 saat seorang wanita mengulas mengenai pelantikan Anwar sebagai perdana menteri yang didakwa dipengaruhi Israel.
Dalam audio itu, wanita berkenaan mendakwa Hassan memaklumkan PN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu, namun Anwar menurutnya memberi tekanan dengan “menghubungi Israel dan kuasa asing” untuk campur tangan dalam proses itu.
Hassan kemudian menafikan pernah menyebarkan kenyataan mengaitkan wujud pengaruh Israel dalam pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.
Dalam perkembangan lain, Anwar dilapor memberi tempoh tiga hari kepada Hassan Saad untuk memperjelaskan dakwaan dalam rakaman audio dimuat naik oleh pengguna Twitter “Mohd Ropi Mat Sin” dan “Pemikir Malaysia” itu.
Melalui satu surat tuntutan melalui Tetuan S N Nair and Partners semalam. Anwar memberi masa tiga hari kepada Hassan untuk memberikan pengesahan secara umum dan bertulis bahawa beliau tidak terlibat dalam perkara itu.
Anwar menegaskan tuduhan dalam rakaman itu “mencemarkan dan mengejek” Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang telah memperkenan pelantikannya sebagai perdana menteri.Anwar beri Hassan tiga hari jelaskan kepada umum
Beliau turut menyifatkannya satu penghinaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu.
0 Comments