Islamfobia: tuduhan Abdul Hadi cubaan melaga-lagakan - Anthony Loke

 


SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang cuba melaga-lagakan parti yang sedang membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau berkata begitu sebagai merujuk dakwaan Abdul Hadi yang berkata DAP cuba menyebar dan mempromosikan Islamofobia di negara ini.

“Itu memang cuba melaga-lagakan DAP, sudah tentu apa yang kita capai sekarang ini, kerajaan perpaduan, mereka nak laga-lagakan.

“Kena bersabar, akan buat penjelasan, kalau ada apa-apa perkara yang kami rasakan fitnah, maka kami akan buat laporan polis,” katanya kepada pemberita selepas  menghadiri Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban semalam.

Abdul Hadi semalam menerusi kenyataan mendakwa DAP bersikap melampau iaitu walaupun cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam. Dia juga mendakwa DAP sebenarnya menyebarkan fahaman Islamofobia terhadap golongan bumiputera bukan Islam.

Sementara itu, kenyataan Abdul Hadi turut menarik perhatian Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menggesa Abdul Hadi supaya berhenti daripada menyebarkan kebencian dan kepalsuan.

"Jika benar DAP seperti apa yang dituduh, buat laporan polis. Biar pihak berkuasa ambil tindakan.

"Pada masa yang sama, ingat-ingatlah nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya kita semua rapatkan saf demi masa depan Malaysia tercinta. Jangan derhaka," katanya beliau menerusi Twitternya, hari ini.

Mengapa Abdul Hadi tak buat laporan polis?
Sebagai rekod, Abdul Hadi yang merupakan Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) banyak membuat kenyataan menyerang DAP.

Ia antaranya menuduh DAP membawakan agenda komunisme dalam parti mereka.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lim Lip Eng kemudian mencabar Abdul Hadi membuat laporan polis berhubung dakwaannya itu.

Post a Comment

0 Comments