Anwar beri jaminan barisan kabinet akan fokus masalah rakyat

 


KERAJAAN pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Anwar telah memberi jaminan bahawa barisan kepimpinan yang bakal menerajui Kerajaan Perpaduan kelak akan memberi fokus terhadap masalah rakyat.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai mengulas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berlangsung pada Isnin.

"Semalam (Isnin) telah berlangsung Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN, ia adalah mesyuarat pertama setelah HARAPAN membentuk Kerajaan Persekutuan.

"Insya-ALLAH pasukan yang terbentuk ini memfokuskan hal rakyat melebihi hal politik," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Selain itu jelas Pengerusi HARAPAN negeri Johor itu, perdana menteri ketika mempengerusikan mesyuarat itu turut memberi jaminan akan memuktamadkan pembentukan kabinet dengan kadar segera.

Namun beliau akan terlebih dahulu mendengar pandangan semua pihak termasuk parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Anwar turut menjelaskan pihaknya perlu mengambil sedikit masa susulan pembentukan kabinet dalam kerajaan tersebut akan lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu.

Kebajikan rakyat jadi fokus utama
Terdahulu dalam kenyataannya Anwar berkata, Selain HARAPAN, keputusan perlu melibatkan koalisi bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana pembentukan kerajaan kali ini melibatkan tiga gabungan parti besar.
 
Mengakui isu lantikan kabinet bukan keputusan mudah untuk diputuskan, beliau walau bagaimanapun yakin ia mampu diselesaikan dengan lancar.

Post a Comment

0 Comments