Perkhidmatan awam akan jayakan agenda pembaharuan - KSN


KETUA SETIAUSAHA NEGARA, Mohd Zuki Ali memberi jaminan bahawa warga perkhidmatan awam teguh dan komited untuk melaksanakan agenda pembaharuan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mohd Zuki dipetik laporan Bernama berkata, ebliau bersama rakan-rakan perkhidmatan awam akan melaksanakan agenda pembaharuan islah iaitu perubahan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Insya-Allah, saya dan rakan-rakan perkhidmatan awam teguh dan komited dalam melaksanakan agenda pembaharuan (islah) yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri dalam memastikan tata kelola yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.

Dalam perjumpaan pertamanya bersama warga Jabatan Perdana Menteri pada Selasa Anwar mengajak 1.6 juta penjawat awam supaya bangkit semula melakukan perubahan dalam usaha memaju dan membangunkan negara.

Perdana Menteri berkata tidak seperti pada waktu sebelum ini, ekonomi negara berada dalam keadaan kemerosotan dan ketidakstabilan yang dikatakan ada kaitan dengan kelemahan pimpinan kerajaan terdahulu.

Tambahnya, sebarang usaha ke arah kebaikan yang ingin dibawanya tidak mungkin berjaya jika tunggak dan pimpinan tertinggi perkhidmatan awam tidak sepenuhnya bersama beliau dalam pentadbiran.

Perkhidmatan awam juga menurut Ahli Parlimen Tambun itu seharusnya bebas, bersikap profesional serta terikat kepada semangat ikrar perkhidmatan untuk menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan masyarakat.

Anwar ajak penjawat awam laksana perubahan
"Saya manfaatkan waktu ini untuk menyeru dan merayu kerana saya tahu kelemahan pimpinan ini kadang-kadang dia terlalu yakin. Dia merasakan hanya berjaya dengan arahan tetapi tidak menjadikan contoh yang baik.

"Jadi kita harus bersama-sama bertekad untuk berbuat sesuatu," kata Anwar.
 

Post a Comment

0 Comments